Oleh NORUL AKMA MOHD ZAIN
SEBERANG PERAI – Sekumpulan pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dikenali sebagai Wira Oren mengambil masa hampir dua jam untuk menyelongkar hampir empat tan sampah di Depo Operasi Pembersihan MBSP, Tasek Gelugor di sini bagi mencari barang kemas yang dibuang secara tidak sengaja oleh pemiliknya semalam.
Pekerja yang menjumpai barang kemas tersebut, Zai Asmawi Zainol Abidin, 38, berkata, dia pada mulanya merasakan mustahil untuk menemui semula barang kemas itu, namun meneruskan pencarian dengan kerjasama rakan sekerja.
“Kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku dan kejayaan menjumpai barangan kemas tersebut sebagai rezeki buat pemiliknya.
“Kira-kira hampir empat tan sampah kami selongkar. Syukur barangan tersebut dijumpai dengan selamat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Pembantu Kesihatan Awam Kanan Depo Operasi Pembersihan MBSP Tasek Gelugor, Mohd. Razizi Hassan, 42, berkata, meskipun mengetahui prosedur untuk memunggah kembali sampah di depo tersebut begitu ketat, namun atas dasar simpati dan amanah dalam melakukan pekerjaan, dia sanggup berdepan risiko.
“Kalau ikutkan prosedur, jika terdapat aduan untuk mencari barangan hilang dan sebagainya, pengadu perlu mencari barang yang didakwa hilang di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dekat Nibong Tebal.
“Tetapi, memandangkan kami terima aduan lebih awal dan sampah yang dikutip baru mencecah hampir empat tan, jadi saya mengarahkan pemandu lori sampah berkenaan untuk bawa lori tersebut ke depo bagi urusan mencari barang kemas yang dikatakan dibuang secara tidak sengaja itu,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita di Tasek Gelugor di sini yang terbuang barang kemas miliknya ke dalam tong sampah sebelum diangkut lori sampah menarik nafas lega apabila ia ditemui semula semalam. – KOSMO! ONLINE