PETALING JAYA – Kebiasaannya seorang lelaki sudah memiliki cucu pada usia 60 tahun, namun sitiuasi itu berbeza bagi penyanyi yang terkenal dengan gelaran Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.
Pada usia 63 tahun, pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Mohd. Ali menghitung detik untuk menyambut kehadiran cahaya mata kelima apabila isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 27, dijangka bersalin secara pembedahan esok.
“Siapa yang tak mahu anak ramai? Dalam situasi sekarang, sejak kelahiran anak ketiga pada tahun 2019 saya kembali melakukan rutin bangun tengah malam untuk membancuh susu.
“Tiga tahun dahulu mungkin agak janggal kerana sudah berbelas tahun tidur lena, jadi apabila ada anak kecil, segala keselesaan sudah beralih kepada mereka.
“Kini saya sudah bersedia mengulangi rutin membantu isteri menjaga baby. Rasanya sekarang tiada apa lagi yang saya nak kejar selain mahu melihat anak-anak membesar,” kata Jamal yang sememangnya mahu memiliki ramai anak sejak dahulu lagi.
Tidak sabar untuk kembali menimang bayi, penyanyi yang popular dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir itu mengakui sudah mempunyai nama iaitu Iskandar Rayyan Yamani untuk bakal bayinya.
Beliau juga sengaja memilih tarikh 22 Februari atau 22.02.2022 untuk menyambut kelahiran anak ketiga hasil pernikahan keempatnya itu.
“Ikutkan ‘baby’ lahir pada 28 Februari tetapi kami sepakat pilih tarikh cantik seperti kakak dan abangnya. Azura dilahirkan pada 10.10.2019 manakala Isaac pula pada 11.11.2020.
“Nama Iskandar Rayyan Yamani dipilih sebab kalau letak Iskandar Zulkarnain sudah ramai dan biasa, jadi kami pilih Rayyan yang bermaksud pintu syurga.
“Kami tiada pembantu, jadi saya kena singsing lengan bantu isteri bancuh susu atau tukar lampin. Sudah empat pembantu rumah telah berhenti.
“Perasaan itu ada sikit rasa tertekan tetapi anak kita kan. Siapa lagi mahu tolong isteri kalau bukan kita,” kata Jamal.
Menerusi perkahwinannya dengan Zai Izzati sejak pada 1 April 2017, Jamal dikurniakan dua anak iaitu Nur Azura Yamani, 3, dan El-Isaac Yamani, 2.
Selain Azura dan Isaac, penyanyi berasal Ipoh itu turut dikurniakan dua lagi putera yang sedang meningkat dewasa menerusi dua perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 16.