PUTRAJAYA – Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) diperluaskan meliputi kawasan-kawasan parlimen luar bandar sekali gus memberi manfaat yang besar kepada seluruh rakyat pelbagai strata ekonomi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu adalah permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan kejayaan PJKM yang dilancarkan pada 2 Disember 2021.
Katanya, sehingga 14 Februari lalu, seramai 1,181,376 pengunjung telah membanjiri PJKM di 775 lokasi seluruh negara dengan nilai jualan yang dicatitkan berjumlah lebih dari RM22.85 juta.
“Ia kini diperluaskan meliputi kawasan-kawasan parlimen luar bandar yang menawarkan barang-barang keperluan dengan harga sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat.
“Pengguna mempunyai peluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah antaranya ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan keperluan rumah terpilih,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, penyertaan daripada pembekal, pemborong dan peruncit juga amat menggalakkan dalam membantu usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup seiring sebanyak 113 rakan strategik telah mengambil bahagian melaksanakan program PJKM di seluruh negara.
Katanya, faktor kejayaan PJKM juga adalah kerana koloborasi yang erat antara KPDNHEP dengan agensi-agensi kerajaan dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta rakan-rakan strategik sektor peruncitan.
“Maklum balas pengguna yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan kian meningkat.
“Program ini dijalankan setiap minggu serentak di seluruh negara di kawasan parlimen yang terpilih di lokasi-lokasi yang berdekatan dengan golongan sasar iaitu B40 dan M40.
“Biasanya PJKM diadakan selama dua hari di hujung minggu mengikut negeri seawal dari jam 8 pagi hingga 4 petang bergantung kepada stok barang yang ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE