HASRAT skuad Bawah 23 Tahun (B-23) untuk melangkah ke separuh akhir Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) B-23 musnah apabila tewas buat kali kedua kepada Laos, kali ini tunduk 2-0 di di Stadium Nasional Morodok Techo, sebentar tadi.
Pada aksi pertama di Stadium Prince, Jumaat lalu, anak buah Brad Maloney turut kecewa apabila tewas 2-1.
Walaupun terpaksa pulang awal, misi Maloney untuk memberikan pendedahan kepada pemain baharu nyata berjaya dan dua kekalahan kepada Laos kali ini beri pengajaran paling berguna sebelum menghadapi pertandingan lebih sukar di Piala Asia B-23 di Uzbekistan, Jun ini.
Berbeza dengan perlawanan pertama, skuad negara memulakan perlawanan dengan corak lebih kemas namun hanya dikecewakan gerakan akhir di kawasan kotak penalti lawan.
Walaupun jarang-jarang melakukan asakan, Laos dilihat cukup merbahaya terutamanya menerusi Chony Waenpaseuth dan ketua pasukan, Bounphachan Bounkong.
Minit ke-43, kesilapan sama yang dilakukan pemain negara dengan melakukan kekasaran berhampiran kotak penalti sendiri nyata mengundang padah apabila Bounphachan tenang menyempurnakan sepakan percuma untuk meledak gol pembukaan perlawanan.
Ketika pasukan negara terus mencari ruang, pemain lawan nyata cukup berdisiplin ketika melakukan tugasan bertahan apabila dilihat menerapkan tekanan di garisan lebih tinggi bermula di kawasan Malaysia.
Sebaik memasuki minit ke-55, tempo yang dijelmakan pasukan negara semakin meningkat apabila berjaya mencipta beberapa peluang terbaik terutamanya menerusi Muhammad Fakrul Iman Naszari, Nur Azfar Fikri Azhar dan pemain gantian, Azhad Harraz Arman.
Seterusnya, benteng pertahanan Laos dipaksa bekerja keras namun sedikit kelekaan pada minit ke-85 menyaksikan gawang negara sekali lagi bocor dan kali ini giliran Souksakhone Bouaphaivanh mencipta nama selaku penjaring. – KOSMO! ONLINE