PETALING JAYA – “Bukan tak boleh minta maaf tetapi netizen cakap pakai air liur, saya cakap pakai duit.”
Itu antara respons daripada bibir usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida berhubung isu tidak sensitif ketika ramai orang beremosi terkenang kehilangan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin usai persembahan syahdu seorang peserta Big Stage 2022, Aisha Retno mendendangkan lagu asal nyanyian penyanyi hebat itu berjudul Kesetiaan malam tadi.
Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman membuatkan ramai ‘menggelengkan kepala’ apabila saat semua orang berduka, dia sebaliknya tetap bersifat mementingkan diri sendiri apabila mengambil kesempatan memberi nasihat berbaur perniagaan dan pemasaran atas kapasiti Presiden Netizen program realiti terbitan Astro berkenaan.
Vida bagaimanapun mengakui turut berasa sedih mengenang pemergian insan berbakat seperti Siti Sarah, apatah lagi hubungannya dengan Allahyarham juga sangat akrab.
“Itulah. Saya tak lena tidur sedih rasa. Saya lagilah sedih. Sebab saya dengan Siti Sarah partner (rakan niaga). Saya tak cakap malam tadi sebab kalau saya cakap, orang cakap sibuk berniaga. Kehilangan yang semua rasai dan saya ada cakap tentang itu.
“Saya boleh sahaja komen macam (dia rakan niaga) tapi saya waktu itu, against time (berlumba dengan waktu). Saya sepatutnya komen banyak lagi tetapi sebab juri lain sampai buat ‘kuliah subuh’ panjang lebar hinggakan giliran saya jadi tiada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Ujar pelantun lagu I AM Me itu lagi, suatu hari nanti, jika sudah sampai waktunya penonton sendiri akan sedar dan tahu tanggungjawabnya sebagai Presiden Netizen dalam pertandingan tersebut.
Pendedahan
“Sampai waktu, saya akan dedahkan siapa saya dalam Big Stage 2022. Saya cakap sikit senang terkena batang hidup sendiri. Orang memang suka cari silap saya.
“Bukan senang-senang Astro nak bagi saya duduk kerusi Presiden Netizen kalau saya tiada ‘sesuatu’. Tapi, macam saya cakap, saya tak nak dedahkan. Kena ‘deal’ dengan Astro dahulu,” ujarnya.
Jelas Vida lagi, benar kemungkinan komen yang dilontarkannya tidak bersesuaian dengan situasi namun pertandingan perlu diteruskan.
“Memang tak kena masa, saya akui. Semua orang sedih tapi saya tak sedih ke? Saya pun lagilah sedih (mengenangkan Siti Sarah).
“Tapi, takkan nak biarkan semua berakhir dengan kesedihan. Hujungnya nanti, pertandingan tetap diteruskan untuk babak selanjutnya iaitu penyingkiran dan apa yang hos (Alif Satar dan Sherry Alhadad) akan umumkan,” katanya.
Malam tadi, seorang peserta cemerlang Big Stage 2022, Aisha Retno mendendangkan lagu nyanyian asal Allahyarham Siti Sarah sehingga membuatkan ramai mengalirkan air mata terutama juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza bahkan Ajai turut sebak memandangkan lagu berkenaan merupakan ciptaannya untuk Siti Sarah.
Bagaimanapun, ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan Vida yang mengambil kesempatan bercerita tentang perniagaan tatkala ramai sedang terusik mengenangkan pemergian penyanyi berbakat besar itu. – KOSMO! ONLINE