PERASAAN pemuda berusia 26 tahun itu bercampur baur saat diberitahu bakal menerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) 2020 baru-baru ini.
Mohamad Farid Wahid berasa sangat bersyukur kerana segala penat lelahnya selama ini akhirnya terbalas juga menerusi anugerah tersebut.
Pada masa sama, lelaki berkulit sawo matang itu berasa sedikit ralat memandangkan dia bukanlah pelajar terbaik sekiranya diambil kira daripada segi jumlah Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA).
Hal ini kerana, masih ramai lagi pelajar berjaya mendapat CGPA lebih baik daripadanya, namun disebabkan beberapa faktor, dia telah mendapat anugerah tersebut.
“Saya betul-betul tidak sangka mendapat anugerah ini selepas hampir empat tahun bekerja keras. Ketika dapat tahu berita ini, saya menangis sebab terharu.
“Saya bukanlah pelajar terbaik kerana ramai lagi yang dapat CGPA lebih tinggi. Tetapi, saya difahamkan Unisel mengambil kira faktor lain juga,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu berkata, penglibatan aktifnya dalam aktiviti luar banyak membantu menaikkan nama Unisel, sekali gus membolehkannya menerima Anugerah Canselor 2020.
Katanya, dia sering menyertai persidangan dan sidang kemuncak melibatkan pemimpin utama negara bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan perakaunan.
Dia menegaskan, kemuncak penglibatannya adalah selepas dianugerahkan sebagai mahasiswa perakaunan terbaik negara oleh Institut Perakaunan Malaysia (MIA) pada tahun lalu.
“Penglibatan aktiviti di luar kampus sangat membantu saya mendapat anugerah ini. Saya banyak terlibat dengan persidangan perakaunan melibatkan ramai pelajar dan pemimpin negara.
“Paling manis, saya dipilih sebagai pelajar terbaik perakaunan oleh MIA. Kemenangan itu sedikit sebanyak membantu mengharumkan nama Unisel,” katanya.
Mohamad Farid berkata, dia bukanlah pelajar cemerlang sewaktu di sekolah mahupun ketika melanjutkan pengajian peringkat diploma di Unisel.
Ceritanya, dia mula menyasarkan untuk menjadi mahasiswa terbaik peringkat ijazah sewaktu melihat raptai majlis konvokesyen diploma di Unisel pada tahun 2016.
“Dalam majlis raptai itu, saya lihat pemenang Anugerah Canselor memberi ucapan atas pentas.
“Ketika itu, saya berazam berdiri di situ pada suatu hari.
“Impian itu akhirnya terlaksana, sekali gus saya juga berpeluang memberi ucapan di atas pentas kepada rakan-rakan sewaktu majlis yang berlangsung baru-baru ini,” terangnya.
Mengulas mengenai rahsia kejayaannya, Mohamad Farid berkata, dia sentiasa memberi tumpuan penuh sewaktu pensyarah mengajar di dalam kuliah.
Ujarnya, jika ada perkara yang tidak difahami, dia segera bertanya kepada pensyarah atau mengulang kaji bersendirian di dalam perpustakaan.
“Apabila tiba masa peperiksaan, saya selalu menghabiskan masa dengan mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan bersama rakan-rakan. Kami akan berkongsi ilmu antara satu sama lain.
“Saya sangat bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan yang mementingkan keputusan peperiksaan. Jadi, kami selalu belajar bersama-sama bagi mencapai matlamat itu,” ujarnya.
Selepas berjaya meraih segulung ijazah, Mohamad Farid tidak menunggu lama untuk mendapat pekerjaan yang diidamkan pada peringkat permulaan kariernya.
Anak keempat daripada lima beradik itu berjaya mendapat kerja sebagai eksekutif perakaunan di syarikat minyak kebanggaan negara, Petronas sejak enam bulan lalu.
“Saya mengimpikan menjadi seorang akauntan bertauliah. Jadi, saya perlu mula bekerja terlebih dahulu bagi mendapatkan pengalaman dalam dunia korporat.
“Alhamdulillah, saya dapat bekerja di sebuah syarikat yang berprofil tinggi. Saya harap dapat meraih sebanyak mungkin pendedahan di sana,” ujarnya lagi.
Selain bekerja, Mohamad Farid juga menyambung pelajaran berkaitan perakaunan profesional sebagai persediaan untuk menjadi tenaga pengajar kepada akauntan baharu selepas ini.