KUANTAN – Niat baik seorang peniaga adalah mahu membantu rakannya dengan memberi pinjaman wang, tetapi malangnya dia ditipu individu yang menyamar sebagai rakannya itu sehingga mengalami kerugian sebanyak RM2,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.26 petang semalam ketika mangsa berada di sebuah pasar raya di Bandar Triang, Bera.
“Mangsa menerima satu pesanan melalui WhatsApp daripada rakannya yang meminta meminjam wang sebanyak RM2,000 untuk dimasukkan ke dalam akaun ahli keluarganya.
“Tanpa berfikir panjang mangsa bersetuju untuk memberi pinjam wang berkenaan kerana percaya itu adalah rakannya berikutan gambar profil yang digunakan di WhatsApp adalah gambar rakannya,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya mangsa telah membuat pemindahan wang berjumlah RM2,000 ke satu akaun yang diberikan suspek atas nama individu lain.
Katanya selepas itu suspek sekali lagi menghantar WhatsApp dan mahu meminjam wang lagi berjumlah RM3,000 menyebabkan mangsa berasa curiga kerana rakannya itu tidak pernah meminjam wang seperti itu.
“Tidak lama kemudian mangsa mendapati suspek menyekat nombornya sebelum mangsa membuat laporan polis di Balai Triang pada hari sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE