PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengajak golongan mahasiswa agar menjadi duta halal kepada rakyat bagi memahami isu berkenaan.
Malahan, usaha murni tersebut selaras dengan slogan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menangkis sebarang dakwaan tular berkaitan isu halal melalui wadah media sosial.
“Justeru, sata mengajak semua mahasiswa di hadapan saya supaya secara tidak langsung akan menjadi duta halal kepada keluarga, rakan sebaya dan komuniti masyarakat,” jelasnya
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan tausiyyah atau nasihat keagamaan pada penutup Program Kesedaran Halal Malaysia Bersama Mahasiswa Tahun 2022 di sini hari ini.
Ia melibatkan 30 wakil penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara serta dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar Jakim, Datuk Hamimah Mohd. Yusoff.
Penganjuran program itu bagi menyampaikan informasi terkini berhubung isu pensijilan halal Malaysia selain interaksi mengenai pelbagai isu tular dengan pihak Jakim dan pemain industri.
Mengulas lebih lanjut, Idris berkata, mahasiswa selaku generasi terpelajar merupakan contoh terbaik kepada pengguna lain dalam membuat keutamaan pilihan produk dan premis halal.
“Saya berharap anak-anak muda di hadapan saya ini dapat beri suntikan dan rangsangan kepada mahasiswa lain, ahli keluarga dan masyarakat terhadap kefarduan halal,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE