TUARAN – Ekoran kereta dipandu bertembung sebuah lori treler, seorang lelaki warga emas maut dalam kejadian di Jalan Kampung Serusup pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa berusia 63 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.22 pagi.
“Sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya dilokasi, kemalangan, anggota bertugas mendapati terdapat sebuah lori treler bertembung dengan Proton Saga serta terdapat seorang mangsa yang tersepit.
“Operasi kemudiannya dijalankan bagi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Menurutnya, bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE