PASIR PUTEH – Kerajaan akan membantu lebih 500 petani yang menanam tembikai di daerah ini dan Bachok dengan menyalurkan bantuan kewangan dan input pertanian yang mereka mengalami kerugian selepas tanaman mereka ditenggelami banjir kilat baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, sebanyak 70 peratus hasil tanaman di kawasan seluas lebih 404 hektar tidak dapat dituai selepas kejadian tersebut.
Menurutnya, Jabatan Pertanian Negeri dan juga Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kini sedang menjalankan bancian untuk proses penilaian jumlah sebenar kerugian yang dialami petani di kawasan itu.
“Kejadian itu menyebabkan kebanyakan petani tidak mendapat pulangan modal mereka malah ada yang terpaksa menanggung bebanan hutang apabila tidak dapat mengutip hasil.
“Kebanyakan petani juga menanggung hutang membajak, pembelian baja dan racun secara kredit. Sehubungan dengan itu, kita akan berusaha mendapatkan dana tertentu untuk meringankan bebanan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin kepada 300 ahli peladang dan petugas barisan hadapan di pekarangan Pejabat Ahli Parlimen Pasir Puteh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, Kampung Pak Mak Yong dan Tok Bali merupakan kawasan utama pengeluar buah-buahan itu di negara ini bagi keperluan domestik malah sebahagiannya turut dieksport ke negara jiran.
Menurutnya, hasil kajian yang dijalankan mendapati, kejadian banjir berlaku disebabkan fenomena air pasang besar dan hujan yang lebat dalam tempoh tiga hari menyebabkan air tidak dapat mengalir ke laut.
“Sistem saliran dan perparitan bukan faktor kejadian tersebit. Saya harap petani tembikai dan pengusaha keledek tabah menghadapi dugaan. Insya-Allah ada bantuan bakal menyusul,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE