BERSEMPENA dengan sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari lalu, penyanyi rap Kanye West dilaporkan telah mengirim sebuah trak yang dipenuhi dengan bunga ros merah kepada bekas isterinya, Kim Kardashian.
Tindakan tersebut dipercayai dilakukan West kerana cuba memikat semula hati wanita itu selepas mereka disahkan bercerai pada tahun lalu.
Biarpun tidak lagi bergelar pasangan suami isteri, West tidak berputus asa untuk menawan semula hati Kardashian dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengirim ratusan kuntum bunga ros barangkali hendak memujuk hati bekas isterinya.
Menerusi nota yang ditulis pada trak tersebut, West yang kini mahu dikenali sebagai Ye memberitahu, perbuatan yang dilakukan itu sudah jelas membuktikan dirinya masih lagi menyayangi Kardashian.
“Misi saya sangat jelas,” tulisnya.
Sejak berpisah pada Februari 2021, West sudah beberapa kali dilihat berusaha untuk mendekati Kardashian.
Dalam masa sama dia juga turut dikaitkan bercinta dengan beberapa orang selebriti popular lain.
Terkini, Kanye dilaporkan putus cinta dengan model dan pelakon Julia Fox. Manakala, Kardashian pula kini sedang hangat bercinta dengan pelakon Pete Davidson.