DENGKIL – Kadar caj yang dikenakan lebih murah berbanding pusat kecantikan bertauliah selain rawatan yang disediakan pula menyeluruh dan pelbagai.
Itu daya tarikan yang ditawarkan pusat kecantikan tanpa tauliah yang didalangi warga asing di beberapa buah negeri termasuk sekitar Lembah Klang.
Bagaimanapun, pusat kecantikan itu akhirnya digempur dalam serbuan serentak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang hari ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 21 wanita warga asing di tahan dalam serbuan di lapan premis di tiga negeri itu.
Beliau berkata, siasatan mendapati, pusat kecantikan itu beroperasi tanpa tauliah oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan dikendalikan wanita warga asing yang tidak mempunyai kelayakan atau kemahiran profesional dalam bidang berkenaan.
“Siasatan juga mendapati, warga asing berkenaan juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah malah, premis rawatan berkenaan juga tidak berdaftar dengan KKM.
“Dalam serbuan itu, seorang wanita warga Indonesia ditahan di Dengkil; 11 wanita dan seorang lelaki warga Vietnam di Kepong; seorang wanita warga Vietnam di Kuchai; empat wanita warga Indonesia di Puchong dan tiga wanita warga Vietnam di Pulau Pinang.
“Serbuan ini dilakukan hasil risikan dan Pemerhatian oleh JIM dan KKM sejak empat bulan lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai serbuan di sebuah pusat kecantikan tanpa tauliah di sini hari ini.
Katanya, pusat kecantikan ini mendapat perhatian wanita tempatan termasuk golongan suri rumah dan eksekutif disebabkan caj rawatan dikenakan jauh lebih murah selain rawatan pelbagai.
Khairul Dzaimee berkata, kadar caj yang dikenakan adalah diantara RM350 hingga RM8,000 termasuk rawatan ‘eye filler’ (RM350), ‘breast filler’ (RM1,900), ‘botox filler’ (RM3,500) dan pembedahan plastik (RM8,000).
Menurutnya, pusat rawatan kecantikan berkenaan didapati menawarkan rawatan kecantikan yang kompleks dan memerlukan penggunaan peralatan tertentu seperti prosedur mencantikan hidung, membesarkan anggota badan tertentu, rawatan pemutihan gigi, suntikan vitamin C dan rawatan menguruskan badan. – KOSMO! ONLINE