KEHADIRAN cahaya mata sememangnya menjadi penyeri rumah tangga, namun dikurniakan anak pada usia lebih separuh abad adalah satu anugerah terindah.
Hanya insan bertuah saja berpeluang merasai keindahan rasa menimang bayi pada ketika teman-teman sebaya sudah bergelar datuk atau nenek.
Raja Pop Datuk Jamal Abdillah juga antara insan bertuah yang dilimpahi rezeki sedekimian sementelah sedang bersiap siaga menanti kelahiran permata hati kelima yang akan dilahirkan secara pembedahan pada 22 Februari (esok).
Katanya, pada umur yang sudah mencecah 63 tahun, beliau hanya berdoa supaya diberi kesihatan beterusan untuk melihat kesemua zuriat membesar dengan sempurna.
“Alhamdulillah saya dikurniakan dua putera yang semakin dewasa, dua anak kecil dan kini sedang menunggu hari kelahiran seorang lagi bayi lelaki.
“Siapa yang tak ingin anak ramai? Dalam situasi sekarang iaitu ketika kelahiran anak ketiga pada 2019, saya kembali melakukan rutin bangun tengah malam membancuh susu.
“Tiga tahun dahulu mungkin agak janggal kerana sudah berbelas tahun tidur lena dan apabila ada anak kecil segala tumpuan sudah beralih kepada mereka pula.
“Kini saya sudah bersedia mengulang rutin tolong isteri jaga bayi.
“Rasanya sekarang tiada apa lagi yang saya nak kejar selain mahu tengok anak-anak membesar,” katanya.
Menerusi perkahwinan dengan Datin Zai Izzati Khiruddin, 27, pada 1 April 2017, mereka dikurniakan Nur Azura Yamani, 3, dan El-Isaac Yamani, 2.
Selain Azura dan Isaac, penyanyi Kekasih Awal dan Akhir itu turut dikurniakan dua lagi putera yang sudah meningkat dewasa menerusi dua perkahwinan terdahulu, Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 16.
Pilih tarikh cantik
Berkongsi mengenai anak kelimanya, Jamal mengakui sudah memilih nama Iskandar Rayyan Yamani untuk si kecil nanti selain memilih tarikh cantik, 22.02.2022 sebagai tanggal kelahiran.
“Ikutkan ‘baby’ nanti lahir pada 28 Februari tetapi kami sepakat pilih angka cantik seperti kakak dan abangnya.
“Azura yang dilahirkan pada 10.10.2019, manakala Isaac pula 11.11.2020.
“Nama Iskandar Rayyan Yamani dipilih sebab kalau letak Iskandar Zulkarnain sudah ramai dan biasa sangat.
“Jadi, kami pilih Rayyan yang bermaksud pintu syurga.
“Kami tiada pembantu, jadi sayalah yang kena bersingsing lengan bantu isteri buat kerja rumah, bancuh susu dan tukar lampin anak.
“Sepanjang tempoh ini sudah empat pembantu rumah berhenti.
“Perasaan itu ada sikit rasa tertekan tetapi anak kita kan.
“Siapa lagi mahu tolong isteri kalau bukan kita,” katanya yang mula sibuk dengan persediaan konsert A Night To Remember Dato Jamal Abdillah & Zamani tidak lama lagi.
Zaki berdikari
Diminta mengulas berkenaan hubungannya dengan Osama dan Zaki, beliau menyatakan tetap mengambil berat keadaan mereka biarpun masing-masing tidak hidup sebumbung.
Semua bapa inginkan yang terbaik untuk setiap anak, malah Jamal tidak mampu menyembunyikan rasa bangga melihat pencapaian Zaki dan Osama.
Berkenaan kritikan netizen terhadap Zaki yang mengusahakan kedai makan, pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah itu yakin putera keduanya kental berhadapan cabaran.
“Saya tahu ada yang tinggalkan komen mengatakan Zaki tak susah sebab ayahnya kaya, senang dapat modal dan sebagainya yang tentu saja menyakitkan hati.
“Zaki anak yang kuat semangat, berdikari dan rajin berusaha. Dari dahulu dia memang tak pernah minta duit kalau tak sangat memerlukan, termasuk ketika mahu memulakan bisnes kedai makannya.
“Dia ada bagi tahu saya sebelum buka kedai tersebut. Apa yang saya dimaklumkan semua modal adalah dari simpanan dia dan emaknya. Usahanya sudah cukup membanggakan saya.
“Kalau pasal dia kecil hati dengan komen orang, saya cuma dapat kata itu semua kita tak dapat kawal,” kongsi Jamal.
Terbaharu tiga beranak itu termasuk Osama merakamkan lagu ciptaan Ezra Kong berjudul Tangan Yang Melambai pada November tahun lalu.
Konsert dengan Zamani
Tidak sabar menunggu 26 Mac depan untuk persembahan mega di Berjaya Hotel, Kuala Lumpur, Jamal juga perlu mengutamakan kesihatan selain membuat latihan vokal dan menguatkan stamina.
Tambah penghibur kelahiran Bintang RTM itu, rutin dilalui setiap kali bakal terbabit dalam persembahan pentas adalah memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik.
“Selepas industri hiburan kembali dibuka, saya juga seperti penggiat seni lain yang teruja untuk mengadakan persembahan di hadapan penonton.
“Dalam situasi Covid-19 semasa yang masih perlu diberi perhatian, kita kena ambil langkah berjaga-jaga dengan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).
Pada persembahan tersebut, Jamal bakal mendendangkan lapan buah lagu solo dan dua duet dengan Zamani.
Mereka akan diiringi barisan pemuzik profesional seperti Ritz Metalasia selaku pemain gitar, Fauzi Zain (bes), Ano NRG (dram), Sham Wings (gitar) dan Afiq (keyboard), manakala Melissa, Oney dan Nuril sebagai penyanyi latar.
Pihak Imaginex selaku penganjur menyediakan sebanyak 100 buah meja yang boleh memuatkan enam tempat duduk setiap satu demi menjaga SOP.
Tiket-tiket berharga RM11,900 untuk meja atau RM1,700 untuk seorang ketagori VVIP, RM6,600 (VIP), RM5,400 (Platinum) dan RM3,850 (Gold) untuk makan malam istimewa berkenaan boleh ditempah menerusi Ilassotickets atau www.ilassotickets.com sejak 8 Februari lalu.