JAKARTA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Indonesia bakal mengenakan syarat pemilikan kad insurans kesihatan Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) bagi urusan jual beli tanah, lapor stesen penyiaran CNBC, kelmarin.
Menerusi satu surat pekeliling, ia menyatakan bahawa kad peserta BPJS Kesihatan merupakan syarat wajib dalam permohonan perkhidmatan pendaftaran pemindahan hak tanah atau hak milik.
“Pelaksanaan peruntukan ini akan berlaku mulai 1 Mac 2022,” tulis surat bernombor yang ditandatangani Ketua Pengarah Penetapan Hak dan Pendaftaran Tanah, Suyus Windayana.
Dasar ini dilaksanakan selaras dengan pengeluaran Arahan Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengenai Mengoptimumkan Pelaksanaan Program Insurans Kesihatan Nasional (JKN).
JKN dalam surat itu adalah sebahagian daripada sistem insurans negara yang dilaksanakan menggunakan mekanisme insurans kesihatan sosial mandatori.
“Justeru, semua penduduk diwajibkan menjadi anggota insurans kesihatan, termasuk warga asing yang bekerja sekurang-kurangnya enam bulan di Indonesia,” demikian menurut surat itu. – Agensi