PUTRAJAYA – Perbincangan selanjutnya berhubung penggunaan 151 sekolah menengah di Johor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dibuat esok antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan SPR bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat terus berjalan dengan baik dan lancar.
“KPM sedang duduk berbincang dengan SPR supaya tidak menggunakan bilik yang digunakan untuk peperiksaan bagi memastikan susun atur tidak diganggu dan kita khuatir nanti susunan indeks serta kedudukan akan terjejas.
“Esok perbincangan selanjutnya akan dibuat dan sebelum ini sudah ada perbincangan awal. Kita bekerja rapat dengan SPR supaya peperiksaan SPM dapat terus berjalan dengan baik,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Sekolahku Sejahtera di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, KPM mengesahkan sebanyak 151 buah sekolah menengah di Johor digunakan bagi PRN Johor.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kawalan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar di sekolah yang mempunyai asrama harian lebih mencabar berbanding sekolah berasrama penuh.
Ujarnya, ia berikutan bukan semua pelajar di sekolah harian yang mempunyai asrama akan menetap di situ sekali gus terdedah kepada masyarakat berbanding sekolah berasrama penuh yang memerlukan semua murid berada dalam sekolah.
Radzi berkata, sehubungan itu, penularan kes Covid-19 melibatkan murid perlu dilihat dalam konteks lebih luas.
“Dalam konteks sekolah berasrama, ada dua cabaran iaitu sekolah berasrama penuh yang lebih tertutup kecuali untuk guru dan pekerja lain dan satu lagi sekolah yang ada asrama harian.
“Yang lebih mencabar adalah asrama harian kerana mereka berada di asrama tetapi kawan (sekelas) balik ke rumah. Ada interaksi (dengan masyarakat) di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah semalam berhubung antara faktor peningkatan kes jangkitan dalam kalangan kanak-kanak termasuk peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan. -KOSMO! ONLINE