MANCHESTER – Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City menerima kejutan apabila tewas 2-3 kepada Tottenham Hotspur dalam saingan liga di Etihad awal pagi semalam.
Kekalahan itu sekali gus memberikan tekanan kepada The Citizens memandangkan pencabar terdekat, Liverpool terus merapatkan jurang selain masih kurang satu perlawanan.
Pengurus City, Pep Guardiola menaruh sepenuh kepercayaan terhadap barisan pemainnya untuk bangkit daripada kekalahan itu dan kembali mendapatkan rentak kemenangan seperti sebelum ini.
“Saya langsung tidak ragu dengan kemampuan pemain-pemain saya untuk bangkit daripada kekalahan seperti ini. Beberapa minggu sebelum ini saya pernah cakap kami tidak boleh sia-siakan peluang untuk kutip mata.
“Setiap perlawanan sentiasa menjadi pertarungan besar untuk kami. Semua orang tahu kemampuan pasukan ini kerana kami tidak pernah tewas sejak Oktober lalu,” kata pengendali dari Sepanyol itu.
Pada perlawanan itu, City menjaringkan gol menerusi Ilkay Gundogan dan Riyad Mahrez, manakala gol Spurs pula dijaringkan Dejan Kulusevski serta dua jaringan Harry Kane.
“Spurs memiliki pemain serta pengurus yang hebat. Memang Spurs bertahan sangat baik dan menunggu peluang untuk melakukan serangan sehingga membuatkan kami sukar menghalang serangan mereka,” ujar Guardiola. – AGENSI