PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terlalu lama sebelum ini telah memberi impak kepada sukan yang diceburi oleh gadis berusia 22 tahun itu.
Sepanjang tempoh itu , Siti Norhadirah Mohd. Naharuddin tidak dapat menjalani latihan memanah secara konsisten hingga menjejaskan prestasinya.
Masalah tersebut berlarutan sehingga kini, apabila banyak kemudahan sukan tidak boleh diakses memandangkan peningkatan kes Covid-19 di dalam negara.
Situasi itu sedikit sebanyak menjejaskan persiapan penuntut Universiti Malaya (UM) itu bagi menyertai temasya Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2022.
“Ketika ini, banyak kemudahan sukan terutamanya di UM ditutup selepas peningkatan kes Covid-19. Jadi, sudah lama saya tidak berlatih memanah bersama rakan-rakan.
“Kalau balik rumah, saya curi-curi juga berlatih sendiri. Jika lama sangat tidak berlatih, saya takut lupa teknik dan hilang fokus,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Gadis berasal dari Batu Pahat, Johor itu mewakili UM menerusi acara memanah compound berpasangan pada temasya Masum 2019, namun gagal membawa balik sebarang pingat.
Katanya, dia masih baru dalam acara memanah compound kerana lebih banyak menyertai acara memanah recurve sebelum memasuki UM.
“Perbezaan antara recurve dan compound adalah jenis busur digunakan, selain lokasi dan jarak. Saya lebih banyak main recurve sepanjang terlibat dalam sukan ini.
“Selepas masuk UM, saya mula berjinak-jinak dengan teknik compound bagi menyertai Masum. Kami tewas di peringkat awal, mungkin kurang pengalaman,” ujarnya.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam sukan itu, Siti Norhadirah memberitahu, dia mula terlibat dalam sukan memanah sejak di bangku sekolah rendah selepas dipelawa seorang guru.
Katanya, kebetulan waktu itu dia masih mencari sukan sesuai diceburi dengan situasinya yang memakai cermin mata disebabkan masalah rabun.
“Saya pakai cermin mata, jadi kalau hendak aktif dalam sukan melibatkan bola agak berbahaya. Saya fikir lebih baik mencuba sukan memanah, bermain seorang pun boleh.
“Bermula dari situlah, saya berjaya mewakili sekolah sehingga peringkat menengah dan daerah sehingga peringkat universiti,” katanya.
Selain aktif memanah, anak sulung daripada dua beradik itu turut aktif dalam aktiviti kesenian seperti nasyid, lakonan teater serta deklamasi puisi.
Di UM, Siti Norhadirah menyertai kumpulan nasyid di Kolej Penginapan Kesebelas dan bertanding dalam Festival Seni UM pada tahun lalu.
Pada masa sama, dia juga aktif dalam persatuan dengan menyertai Angkatan Kejuruteraan Islam Universiti Malaya (AKIUM) dan pernah menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Kerohanian.
“Pada tahun ini, saya tidak mahu aktif sangat dalam AKIUM bagi memberi tumpuan pada pelajaran. Mungkin saya boleh melakukan aktiviti jangka pendek.
“Selalunya, saya dijemput untuk jadi moderator atau pengerusi majlis anjuran AKIUM. Ia meningkatkan keyakinan di depan khalayak,” terangnya.
Meskipun sibuk dengan aktiviti sukan dan berpersatuan, namun Siti Norhadirah tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai mahasiswa.
Justeru, dia mengikut nasihat kedua-dua ibu bapanya supaya bijak menguruskan masa antara aktiviti luar dengan pengajian jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan.
“Ibu bapa saya tidak kisah aktiviti apa yang perlu diceburi asalkan bijak membahagikan masa,” ujarnya.
Gadis berkulit sawo matang itu memasang impian untuk bekerja selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda.
Dia ingin bekerja dalam bidang pengajiannya iaitu sebagai konsultan kejuruteraan di hospital atau mereka bentuk mesin perubatan baharu.