PETALING JAYA – Isteri kepada pelakon Fizo Omar iaitu Fazeera Nazri akhirnya menjawab teka-teki netizen tentang dirinya yang dikatakan hamil apabila mengakui kini sedang berbadan dua.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Fazeera atau nama lengkapnya Fazeera Nazri Azrai berkongsi saat membuat kejutan kepada suaminya dengan memberi alat ujian kehamilan.
Berdasarkan keterangan pada video tersebut, difahamkan detik gembira itu dirakam pada bulan pertama perkahwinan mereka iaitu sekitar November tahun lalu.
“Video ini diambil ketika bulan pertama perkahwinan kami. Berita ini (hamil) merupakan kejutan besar untuknya apabila saya memberitahu bakal menimang cahaya mata.
“Alhamdulillah atas kurniaan oleh Allah SWT kepada kami dan berharap semoga semuanya berjalan lancar,” ujar Fazeera.
Menerusi video berdurasi 50 saat itu, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar dilihat terkejut apabila dimaklumkan bakal menimang cahaya mata sulung untuk perkahwinan keduanya itu.
“Maksud awak hamil? Serius? Saya cintakan awak. Biar betul sayang? Jadi ‘made in’ Janda Baik la? Ya saya sangat gembira,” ujar Fizo.
Pada masa sama, Fizo dilihat turut meninggalkan komen pada video tersebut apabila berkongsi rasa gembira selepas isterinya hamil.
“Saya adalah bapa paling gembira saat ini. Saya cintakan awak sayang,” komen Fizo.
Dalam Instagram Fizo, pelakon drama Pengantin Satu Malam itu turut berkongsi berita gembira tersebut apabila memaklumkan bahawa anak sulungnya, Wan Maryam bakal mendapat seorang adik.
“Alhamdulillah syukur. Cik Yam (panggilan anaknya) bakal dapat adik. Muka abe Joe (panggilannya) terkejut, terkedu dan teruja. Baru sebulan kahwin (ketika video dirakam), tiba-tiba isteri tunjuk alat ujian kehamilan dan cakap; “sayang saya positif”.
“Positif apa sayang? Syukur Ya Allah rezeki 2022 ini datang tanpa putus dengan izinMu Ya Allah. Semoga Allah SWT memelihara kandungan ini dan dilahirkan menjadi anak yang soleh dan solehah untuk membawa daddy dan ummi ke syurga. Amin,” pinta Fizo.
Sekadar info, Fizo mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan wanita berasal dari Kuching, Sarawak itu pada 21 Oktober tahun lalu dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup di Janda Baik, Pahang.
Sebelum ini Fizo pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Mawar Karim pada 2013, namun bercerai pada Julai 2019. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam yang kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE