KOTA BHARU – Seorang ahli perniagaan hanya mampu berputih mata apabila wang miliknya dan ibu sebanyak lebih RM140,000 lesap daripada akaun bank mereka selepas diperdaya sindiket Macau Scam baru-baru ini.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan pertengahan 20-an itu tertipu dengan helah sindiket itu pada 11 Februari lalu selepas menerima panggilan telefon semasa berada di rumahnya di Machang dekat sini daripada seorang lelaki yang mendakwa dari Telekom Malaysia (TM) Point.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lelaki itu mendakwa identiti mangsa telah digunakan untuk mendaftar talian yang digunakan dalam kes jenayah siber sebelum panggilan itu disambungkan kepada dua suspek yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Sarjan dan Inspektor.
Menurutnya, suspek yang mengaku pihak polis memaklumkan identiti mangsa telah terlibat dengan pengubahan wang haram melibatkan satu sindiket pelaburan yang diketuai oleh seorang individu dengan memindahkan wang berjumlah RM400,000 ke akaun bank individu itu.
“Mangsa yang menafikan penglibatannya telah dinasihatkan untuk meminta bantuan Asisten Komisioner Datuk Mohd. Fazley yang akan menolongnya.
“Selepas kononnya siasatan dijalankan, mangsa diminta untuk menyerahkan maklumat perbankan internet iaitu nama pengguna, kata laluan, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan Kod Pengesahan Transaksi (TAC).
“Mangsa juga diminta menyerahkan maklumat sama daripada akaun bank milik ibunya untuk siasatan kononnya wanita itu tidak terlibat dengan kes pelaburan dan pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shafien memberitahu, curiga dengan tindakan itu, mangsa telah membuat semakan sebelum mendapati sebanyak 15 transaksi telah dibuat oleh suspek melibatkan wang berjumlah RM140,679 daripada akaun lelaki itu dan ibunya dalam tempoh 11 hingga 15 Februari lalu.
Ujarnya, sindiket memaklumkan kepada mangsa bahawa kesemua wang itu dipindahkan buat sementara waktu ke Bank Negara bagi tujuan siasatan dan akan dikembalikan semula.
Menurutnya, mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Machang dekat sini pada 15 Februari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE