GEORGE TOWN – Misteri kehilangan wang kertas RM50 dan RM100 tanpa disedari mangsa dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan individu atau pembela makhluk halus yang tinggal di kawasan berhampiran.
Pengamal perubatan Islam di negeri ini, Halim Ahmad, 39, berkata, kemunculan bayangan satu objek hitam di ruang kediaman kebiasaannya dikaitkan dengan kehadiran jin belaan seperti anak kerak, toyol atau saka milik individu yang terlalu taksub dengan perbuatan syirik.
Menurutnya, kunjungan makhluk belaan juga dikatakan tidak mengira siang atau malam dan hanya mengikut arahan tuan atau pemiliknya.
“Terdapat banyak kemungkinan si pembelanya memelihara jin belaan. Antaranya adalah untuk membalas dendam, mencuri atau kesanggupan tuan baharu bertukar tangan dengan pemilik lama.
“Kerja jahat makhluk halus itu selalunya berpaksikan arahan tuannya dan mangsa-mangsanya pula kebiasaannya juga dikatakan dipilih secara rawak, manakala lokasinya pula adalah di tempat yang sunyi atau tiada penghuni di dalam rumah.
“Justeru, bagi mengelak daripada sebarang gangguan jahat jin belaan itu, disaran letak cermin pada atas bucu dinding sebagai pantulan, ikat ketam di depan atau belakang pintu rumah dan meletakkan bekas berisi guli di luar beranda atau pintu luar halaman rumah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Selain itu, jelasnya, umat Islam juga perlulah sentiasa membekalkan bacaan serta memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran dan alunan zikir di dalam rumah setiap masa.
Kosmo! semalam melaporkan, penduduk di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar kecoh sejak beberapa minggu ini dengan mendakwa kehilangan wang angkara makhluk halus dikenali sebagai anak kerak.
Difahamkan, kehilangan duit hanya melibatkan wang kertas RM50 dan RM100 termasuk yang sudah diketip dawai kokot dan disimpan di dalam lipatan sejadah, seluar, helaian al-Quran, laci pakaian dalam serta beg pinggang milik mangsa.