fbpx

Ashira Aziz perlukan kos RM30,000 untuk ke AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASHIRA

PETALING JAYA – Penyanyi Ashira Aziz tidak menyangka terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan bertaraf dunia, World Champions Of Performing Arts (WCOPA) yang diadakan di Amerika Syarikat (AS) pada Julai nanti.

Ashira atau nama lengkapnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 37, ketika dihubungi Kosmo! Online gembira apabila berjaya melepasi uji bakat, sekali gus terpilih mewakili negara dalam kategori ‘Vocal Senior’ dalam pertandingan tersebut.

“Alhamdulillah rezeki. Saya sangat gembira dan bersyukur apabila terpilih untuk bertanding di AS bagi kategori Vocal Senior.  Awalnya, saya sekadar suka-suka sertai uji bakat dan tidak sangka terpilih.

“Saya baru dapat tahu semalam selepas diumumkan terpilih mewakili Malaysia bersama empat lagi peserta lain,” ujarnya.

Walaupun gembira kerana bakal membawa nama Malaysia ke pentas dunia, pelantun Di Ombak Resah itu ‘pening kepala’ kerana perlu mencari dana sendiri sekitar RM30,000 untuk perbelanjaan dan persiapan ke AS pada Julai nanti

“Sekarang ini saya kena cari dana sendiri untuk perbelanjaan ke AS. Saya sedang menunggu surat sokongan dan perlu berusaha untuk mengumpul dana sekitar RM30,000.

“Saya hara pada yang sudi untuk membantu saya mengumpul dana. Saya ke AS pun untuk bertanding dan membawa nama Malaysia. Pada sesiapa yang percaya pada bakat saya, harap dapat membantu,” katanya.

Menganggap peluang terpilih menyertai pertandingan WCOPA cuma datang sekali dalam seumur hidup, bekas peserta program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu berharap dapat melakukan yang terbaik ketika pertandingan.

“Terima kasih semua yang mendoakan urusan saya dipermudahkan. Syukur alhamdulillah,” katanya.

Sekadar info, selain Ashira, beberapa nama penyanyi terkenal negara juga pernah mengharumkan nama Malaysia di pertandingan WCOPA antaranya Allahyarham Siti Sarah yang menyumbang tiga pingat emas untuk Malaysia, Bob Yusof (lima emas), Asmidar (tiga emas, tiga perak dan dua gangsa) dan Aina Abdul (Vocalist of the World). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI