PUTRAJAYA – Sebanyak 26,832 kes positif Covid-19 telah dilaporkan semalam dengan 133 kes atau 0.5 peratus daripadanya merupakan kes kategori tiga, empat dan lima.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, baki sebanyak 26,699 kes atau 99.5 peratus adalah kategori satu dan dua manakala jumlah kumulatif kes positif Covid-19 mencecah 3,221,680 kes.
Menurutnya, mengikut pecahan, kategori satu sebanyak 8,469 kes (31.56 peratus), kategori dua sebanyak 18,230 kes (69.94 peratus), kategori tiga sebanyak 66 kes (0.25 peratus), kategori empat sebanyak 38 kes (0.14 peratus) dan kategori lima 29 kes (0.11 peratus).
“Daripada 133 kes kategori tiga, empat dan lima, 29 kes (21.80 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 75 kes (56.39 peratus) telah menerima dua dos vaksin, 29 kes (21.80 peratus) telah menerima dos penggalak dan 62 kes (46.62 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas.
“Seterusnya, 47 kes (35.34 peratus) mempunyai komorbid dan enam kes atau 4.51 peratus merupakan kes melibatkan ibu mengandung,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Jelas Dr. Noor Hisham, terdapat 11 kes (4.10 peratus) daripada keseluruhan kes yang dilaporkan semalam telah meninggal dunia termasuk enam kes (0.02 peratus) merupakan kes brought in dead (BID).
Tambah beliau, sebanyak 18,459 kes sembuh dilaporkan dengan jumlah kumulatif 2,937,655 kes serta 261 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 139 kes memerlukan bantuan pernafasan. -KOSMO! ONLINE