SEBERANG PERAI – Seorang wanita di Tasek Gelugor di sini yang terbuang barang kemas miliknya ke dalam tong sampah sebelum diangkut lori sampah menarik nafas lega apabila ia ditemui semula hari ini.
Menurut perkongsian pengguna laman sosial Facebook, Yaya Ismail, dia secara tidak sengaja terbuang dompet berisi barang kemas ke dalam tong sampah sebelum menyedarinya kira-kira pukul 9 pagi.
Menurut wanita itu, dia meminta bantuan individu dipanggil abang untuk mencari lori sampah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang telah mengambil sampah kira-kira pukul 7.45 pagi sebelum mendapat persetujuan pihak berkenaan mencari barang kemas tersebut.
“Terdetik di hati andai kata jumpa emas ni memang nak bagi depa (mereka) saguhati dan andai kata tak jumpa pun nak bagi juga sebab bukan mudah depa nak cari dalam sampah yang banyak tu.
“Akhirnya keluar satu ayat, tak apalah saya reda mungkin bukan rezeki saya sebab tak mahu susahkan mereka mencari dalam lori padat (sampah) tu,” tulis wanita tersebut.
Menurutnya, pekerja yang dikenali Wira Oren itu bersetuju untuk membantunya dan meminta untuk pergi ke depo sampah di Tasek Gelugor untuk bersama-sama mencari barang kemas berkenaan.
“Yaya memang tak pi (pergi) dan kebetulan abang ada pergi tengok rumah di sana dan dia sama-sama mencari bersama pasukan MBSP.
“Kira-kira pukul 1.30 abang buat panggilan video memaklumkan barang kemas di dalam dompet ditemui di dalam plastik hitam,” katanya yang menarik nafas lega sehingga mengalirkan air mata.
Sementara itu, wanita berkenaan turut menzahirkan penghargaan kepada kira-kira sepuluh Wira Oren yang membantunya dalam usaha mencari barang berharga itu.
Bagaimanapun dia tidak memaklumkan nilai barang kemas tersebut. – KOSMO! ONLINE.