SEREMBAN – Seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol antara tujuh individu ditahan dalam Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk di tiga lokasi di daerah ini bermula malam tadi hingga awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, pemandu mabuk itu merupakan pekerja swasta lelaki berusia 40 tahun.
Tambahnya, tiga lelaki antaranya remaja berusia 17 hingga 21 tahun juga ditahan kerana melakukan aksi ‘willy’ dan ‘superman’ dengan gaya meniarap di atas tempat duduk motosikal.
“Aksi berkenaan dilakukan secara berulang-alik dari arah lampu isyarat Sri Pagi menghala ke arah lampu isyarat Taman Matahari Heights, Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shafiei berkata, kesemua yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE