PETALING JAYA – Selepas beberapa hari dikecam bagai nak gila, pelakon Sharifah Rose akhirnya tampil memohon maaf sekiranya jenama tudung pertama miliknya iaitu Sekuntum mencetuskan kekeliruan sehingga dituduh meniru perniagaan pihak lain.
Menurut pemilik nama penuh Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira itu, dia hanya mengetahui sebuah lagi jenama tudung yang mirip dengan Sekuntum selepas melancarkan bahan promosi dalam Instagram.
Dalam satu hantaran Instagram, dia turut menegaskan jenama Sekuntum miliknya tidak meniru mana-mana pihak sebaliknya diambil sempena nama panggilan dirinya.
“Pada awal pemilihan nama untuk syarikat, kajian sudah dijalankan cuma saya hanya tahu kewujudan jenama yang diperkatakan itu bersama dengan Sekuntum selepas melancarkan promosi dalam Instagram.
“Perkataan ini sangat dekat di hati saya kerana sekuntum ialah nama panggilan daripada keluarga sejak kecil lagi. Kami memutuskan untuk mendaftarkan nama Sekuntum kerana tidak terhad untuk bunga ros saja,” katanya.
Tambah aktres berusia 24 tahun itu, dia juga menolak untuk menggunakan nama Sekuntum Rose bagi jenama berkenaan kerana tidak mahu berkait dengan dirinya.
“Pada awalnya, ada yang memberi cadangan untuk menamakan jenama ini sebagai Sekuntum Rose tetapi saya menolak kerana tidak mahu hanya berkaitan tentang diri saya.
“Ini sebuah jenama tentang bunga, bentuk, warna dan saiz.
“Sekali lagi, dengan rasa rendah diri saya memohon maaf sekiranya dianggap mencetuskan kekeliruan,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia yang terkenal menerusi drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard itu menjelaskan pihaknya juga telah melakukan kajian sebelum memulakan bisnes dan jenamanya juga telah didaftarkan sejak September lalu.
“Saya langsung tidak berniat untuk melukakan hati mana-mana pihak dan telah pun mengambil iktibar daripada isu ini untuk dijadikan pengajaran buat diri dan perniagaan.
“Selain itu, saya terima segala maklum balas, baik atau buruk. Kerana dengan cara itu sahaja saya dapat belajar dan berkembang.
“Akhir sekali, saya berharap agar kedua-dua pihak dapat berkembang mekar bersama,” katanya lagi.
Dalam hantaran sama, dia juga menjelaskan sudah berhubung dengan pihak jenama susu Australia iaitu Macamilk berkaitan isu plagiat imej kotak susu dalam salah satu bahan promosi Sekuntum.
Kosmo! semalam melaporkan heroin naskhah 3 Nota Cinta itu menjadi mangsa kecaman dalam media sosial selepas ‘kantoi’ memplagiat jenama sedia ada di pasaran milik seorang individu bukan selebriti. – KOSMO! ONLINE