SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) tiada lagi ‘jalan pintas’ untuk melayakan diri ke separuh akhir Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) kecuali hanya perlu memastikan kemenangan lebih besar ke atas Laos di Stadium Nasional Morodok Techno, esok.
Walaupun pertandingan ini menjadi pentas pendedahan kepada muka baharu, komitmen penuh daripada pemain negara juga begitu dituntut dan apa yang dijelmakan Laos pada aksi kelmarin membuktikan yang pasukan itu bukan lagi berstatus belasahan yang mudah untuk ditewaskan.
Pengendali negara, Brad Maloney kini pastinya menjadi individu paling pening memikirkan strategi terbaik untuk cuba menterbalikkan keputusan kekalahan 1-2 yang dicatatkan kelmarin.
“Dari segi keputusan, memang kami kecewa tetapi Laos memang memiliki kualiti dan kami perlu hormatinya. Kita pun mahu beri kejayaan buat peminat, namun adalah tidak adil untuk membandingkan kami dengan skuad senior.
“Kami perlu belajar sesuatu daripada perlawanan pertama. Saya juga mungkin akan buat perubahan dan mungkin ia akan babitkan tiga atau empat pemain,” katanya dalam sidang media atas talian semalam.
Berdasarkan penilaian yang dibuat barisan kejurulatihan, pemain negara berjaya menunjukkan impak positif sepanjang 60 minit perlawanan, namun gagal untuk mengekalkan konsistensi sehingga wisel penamat perlawanan menyebabkan mereka dibolosi.
Jurulatih dari Australia tu merasakan tiada guna untuk meratapi kekalahan kelmarin dan fokus utama adalah memanfaatkan tempoh persediaan yang ada untuk pamer kebangkitan pada perlawanan kedua.
“Lupakan apa yang jadi dan kita perlu melihat kepada perlawanan Isnin ini. Kami juga tiada sebarang kecederaan serius dan perkara utama adalah pemain perlu belajar daripada apa yang sudah berlaku.
“Inilah proses pembelajaran buat pemain. Kami perlu berlatih dengan lebih baik lagi untuk bina keyakinan pemain seterusnya cuba dapatkan keputusan baik untuk layak ke separuh akhir,” katanya.