MANCHESTER – Legenda Manchester United, Paul Parker menggesa pengurus interim pasukan itu, Ralf Rangnick memberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan kepada pemain yang lebih dihormati.
Menurutnya, kapten ketika ini, Harry Maguire sudah tidak lagi relevan dan layak untuk menggalas tugas berkenaan ekoran sering menerima kritikan hebat ekoran aksinya yang dianggap cuai dan selalu mendatangkan bahaya kepada pintu gol pasukannya.
Laporan menyebut, timbul beberapa cerita mengenai Maguire yang ketika ini tercabar dengan kedudukannya sebagai ketua pasukan apabila bintang sensasi pasukan itu, Cristiano Ronaldo dilihat sebagai individu paling berpengaruh dalam bilik persalinan mereka.
“Saya tidak fikir Harry Maguire mampu untuk meneruskan tugasnya sebagai kapten Manchester United.
“Dia seharusnya lebih ‘sibuk’ untuk memikirkan mengenai prestasi dirinya sendiri berbanding cuba untuk mengemudi pasukan itu meraih kemenangan. Dia tiba di United dan dalam tempoh yang singkat diberikan tugas itu.
“Saya fikir menjadi seorang ketua pasukan United bukanlah dinilai daripada harga perpindahan, tetapi kemampuan untuk memimpin pasukan.
“Buat masa ini, saya menganggap David De Gea adalah individu yang paling layak. Dia telah banyak membantu United untuk berada di kedudukan mereka ketika ini,” katanya.
Parker turut berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk United memberikan kepercayaan kepada pemain pertahanan lain untuk beraksi berbanding terus menyenaraikan Maguire.
“Maguire tidak pernah menjadi pilihan saya dalam senarai pemain bek. Mereka memiliki Phil Jones yang masih mampu beraksi dengan baik. Begitu juga Victor Lindelof yang pada saya tidak mendapat layanan adil,” jelasnya. – AGENSI