PETALING JAYA – Setelah dua tahun mengenali hati budi, pelakon dan pengacara Zulin Aziz kini sah bergelar isteri kepada rakan kongsi perniagaannya, Farhan Norzaini dengan sekali lafaz.
Dalam majlis akad nikah yang dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Negara sekitar pukul 9.20 pagi tadi, pasangan mempelai telah diijabkabulkan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd. Hosni. berwalikan abang pengantin perempuan, Shah Rezza Abdul Aziz.
Zulin atau nama lengkapnya Farah Azleenda Abdul Aziz menerima wang hantaran sebanyak RM30,000 daripada pihak pengantin lelaki.
Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM80 beserta lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Selesai sahaja majlis akad nikah, bekas penyampai radio Suria FM itu berharap supaya perkahwinan yang dibina bersama suami dipermudahkan urusan untuk masa akan datang.
“Saya sering digambarkan dengan cinta sejati selama ini. Begitu juga dengan fantasi dunia kartun Disney yang membahagiakan antara dua karakter kartun.
“Namun sebelum dua karakter kartun itu bersatu, pelbagai dugaan juga ditempuhi. Di alam realiti juga, saya sendiri melalui pahit getir dalam mencari cinta sejati.
“Kehadiran suami dua tahun lalu bagaikan magis yang mengubah persepsi bahawa kemarau panas berpanjangan itu berakhir dengan kehadiran pelangi setelah hujan. Hujung tahun lalu ketika mengerjakan umrah, dia melamar saya di Madinah,” kata Zulin usai majlis nikah.
Pada masa sama, selebriti berusia 33 tahun itu turut menyifatkan kesungguhan dan keluhuran hati Farhan, 35, menjadi penambat hatinya.
“Dia (suami) seorang yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Suami juga seorang pendengar yang setia. Saya selesa bersama dengannya dan boleh meluahkan apa sahaja kepadanya.
“Tiada rahsia antara kami. Dia menerima saya seadanya sewaktu zaman saya berisi dan kini berjaya menurunkan berat badan. Saya percaya dialah yang akan membimbing diri ini ke jalan diredai dan menjadi bapa kepada bakal anak kami kelak. Insya-Allah,” katanya
Bercakap soal anak dan bulan madu, Zulin dan suami belum dapat memberi kata putus dan terbuka menerima apa saja rezeki mendatang.
“Soal cahaya mata, baik saya dan suami terima saja rezeki yang Tuhan berikan. Lagi tujuh tahun saya bakal mencecah usia 40 tahun.
“Saya dan suami beruntung kerja dalam bidang sama iaitu perniagaan Sambal Tujuh. Jadi sambil bekerja, boleh juga selit mana yang sempat untuk berbulan madu. Rancangnya seperti hendak ke Turki, tapi situasi semasa pandemik Covid-19 pun membimbangkan. Belum ada kata putus,” katanya.
Sementara itu, Farhan atau nama penuhnya, Mohd Farhan Norzaini melihat Zulin sebagai wanita yang mempunyai hati yang tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarganya.
“Alhamdulillah, bersyukur Allah satukan kami selepas dua tahun kenal bermula sebagai kawan, seterusnya bercinta dan kini jadi suami dan isteri.
“Perasaan bercampur baur sebab ini antara hajat dan doa daripada arwah ibu, rakan dan semua yang mengenali kami.
“Masing masing pernah melalui fasa dikecewakan, turun naik kehidupan serta perhubungan. Dia turut bersama saya di saat mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika kehilangan arwah ibu pada Oktober tahun lalu.
“Di situ saya tahu Zulin adalah calon isteri yang saya mahu sehidup semati. Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah (ibu) menjaga saya. Zulin ada ciri-ciri lengkap semua itu,” kongsi Farhan.
Malam ini, pasangan sama padan sama cantik itu akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di Magica Grand Hall, Shah Alam.
Terdahulu, Zulin dan Farhan telah mengikat tali pertunangan pada 28 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE