fbpx

Kosmo! Prihatin: Pencari barang lusuh cekal jaga bayi sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAH RIZAL (kanan) dan Norizan bersama Az-Ziqri ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit 13, Sungai Panjang, Sabak Bernam semalam.

SABAK BERNAM – Biarpun diuji bayinya menghidap pelbagai penyakit, seorang pencari barang lusuh cekal mencari rezeki demi membesarkan putera kesaya­ngannya itu seperti kanak-kanak normal lain.

Mohd. Az-Ziqri Sah Rizal berusia sembilan bulan itu mengalami masalah darah, pendengaran telinga kiri, jantung berlubang dan usus.

Lebih memilukan, anak bongsu daripada empat beradik itu tiada lubang dubur dan bahagian perut kirinya terpaksa dibedah sebagai saluran membuang air besar.

Menurut Sah Rizal Mohamed Aripin, 42, bayinya selamat dilahirkan di Hospital Tengku Am­puan Rahimah (HTAR) Klang pada 17 Mei tahun lalu.

“Namun Az-Ziqri kemudian terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan kerana masalah usus dan tiada saluran buang air besar.

“Selain tiada lubang dubur, saya reda apabila doktor memaklumkan anak bongsu kami mengalami masalah lain se­perti jantung berlubang dan darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit 13, Sungai Panjang di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Surgi yang me­nyerahkan sumbangan barangan keperluan asas kepada keluarga itu.

Kata Sah Rizal, Az-Ziqri kini perlu menjalani rutin pemeriksaan susulan hampir setiap ming­gu di HTAR dan HKL.

“Selain itu, lubang pada perut kirinya perlu dibersihkan lima kali sehari dengan ditutup menggunakan kapas khas jenis ‘gauze’.

“Alhamdulilah, keadaan anak masih baik, namun memerlukan penjagaan rapi bagi mengelak jangkitan kuman pada paru-parunya yang pernah berlaku sebelum ini,” ujar bapa kepada tiga anak berusia tujuh hingga 14 tahun.

Ujar beliau, selain kos berulang alik ke hospital, dia kini perlu bersedia puluhan ribu ringgit untuk kos pembedahan lanjutan terutama melibatkan jantung Az-Ziqri apabila berat badan anak­nya melebihi jumlah ditetapkan doktor kelak.

Tambah Sah Rizal, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori bagi membantu isteri­nya, Norizan Mohd. Jais, 40, yang juga suri rumah menjaga Az-Ziqri sambil turut mencari barang lusuh di sekitar daerah ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh me­nyalurkannya ke akaun Maybank 1624 6919 8099 atas nama Sah Rizal atau menghubunginya di talian 011-2147 3093.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI