LONDON – Penggempur utama Tottenham Hotspur, Harry Kane mahukan pengurusnya, Antonio Conte diberikan sokongan kewangan yang cukup sekiranya kelab itu mahu dia terus kekal bersama mereka.
Pemain berusia 28 tahun itu dilaporkan akan membuat keputusan mengenai masa depannya pada penghujung musim ini sama ada untuk kekal bersama Spurs atau mencari destinasi lain dalam memburu impiannya untuk merangkul gelaran.
Kane ketika ini dilaporkan kembali gembira dan lebih terbuka mengenai peluangnya untuk terus kekal bersama pasukan itu selepas ketibaan Conte yang dilantik sebagai pengurus baharu pada November tahun lalu.
Menurutnya, Conte memiliki aura untuk membantu pasukan itu menamatkan kemarau kejuaraan sejak 14 tahun lalu tetapi dia mahukan jaminan daripada pengerusi kelab, Daniel Levy untuk mendapatkan beberapa pemain berkualiti pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Kane percaya Levy akan sekali mengulangi sikapnya tidak memberikan sokongan kewangan kepada Conte seperti yang dilakukan terhadap pengurus-pengurus terdahulu, namun kali ini dia nekad untuk meninggalkan pasukan sekiranya perkara itu berlaku lagi.
Musim panas lalu menyaksikan Spurs hampir kehilangan khidmat ‘ayam tambatannya’ itu selepas Kane cuba mempertimbangkan tawaran daripada Manchester City termasuk ditawarkan gaji mingguan yang lebih lumayan.
Jendela perpindahan musim panas nanti bakal menyaksikan Spurs tidak mampu lagi untuk menahan kemahuan Kane terutama Manchester United juga cuba untuk mendapatkannya jika berjaya membawa masuk Mauricio Pochettino sebagai pengurus baharu mereka. – AGENSI