NUKU’ALOFA, Tonga – Kerajaan Tonga memaklumkan bahawa jutawan dan pengasas Tesla, Elon Musk telah menyumbangkan 50 terminal satelit kepada negara itu.
Sumbangan itu bagi membantu Kepulauan Pasifik yang musnah akibat tsunami bulan lalu memulihkan semula hubungan komunikasi dengan dunia luar.
Sistem telekomunikasi Tonga telah dihadkan hingga paras kritikal sejak 15 Januari apabila letusan gunung berapi yang ganas dan tsunami memutuskan kabel gentian optik bawah airnya.
“Syarikat Space X milik Musk menyediakan 50 terminal apertur sangat kecil (VSAT) dan kami sedang meneliti tentang cara untuk menggunakannya sebaik mungkin,” kata Perdana Menteri Tonga, Siaosi Sovaleni.
Negara itu juga sedang mempertimbangkan tawaran untuk meningkatkan kapasiti internet Tonga yang telah beroperasi pada jalur lebar yang sangat kecil sejak kabel terputus.
“Peningkatan kapasiti penggunaan internet juga sesuatu yang kami sedang pertimbangkan sekarang,” kata Sovaleni.
Kakitangan teknikal dari SpaceX dan Kerajaan Tonga kini sedang berusaha memasang peralatan tersebut untuk beroperasi mulai minggu depan.
Sovaleni berkata beliau menjangkakan pembaikan sementara akan siap awal minggu depan. – AFP