fbpx

11 pemandu mabuk diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pesalah trafik ditahan menerusi operasi mingguan dijalankan JSPT KL di sekitar ibu kota yang mana berjaya mengeluarkan sebanyak 408 saman keatas pesalah trafik.

KUALA LUMPUR – Seramai 11 lelaki ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu kota di sini, malam tadi.

Operasi itu bermula Jumaat lalu dengan kekuatan 70 pegawai serta anggota polis dijalankan di sekitar ibu kota, Jalan Raja Laut, Jalan Genting Klang, Jalan Temerloh, Jalan Titiwangsa, Jalan Loke Yew, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, menerusi operasi itu pihaknya menahan 11 lelaki atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemua suspek berusia lingkungan 26 hingga 60 tahun ditahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan terbabit.

“Selain itu, kita turut menahan dua lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun kerana saringan air kencing mendapati keduanya positif dadah jenis syabu dan heroin,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi serta IPD Cheras dan akan dituduh di bawah Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki serta positif dadah terbabit.

Tambah Sarifudin, pihaknya juga memberkas empat orang lelaki berusia 16 hingga 20 tahun kerana menunggang dalam keadaan berbahaya, melakukan aksi zig-zag, roket serta superman dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987.

Menurut beliau, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 408 saman atas pelbagai kesalahan termasuk menyita 21 buah motosikal kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Kesemua motosikal yang disita akan diambil tindakan di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

“Tangkapan selebihnya telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI