BERA – Selepas sekian lama menanti dengan pelbagai usaha pencarian membuatkan waris mangsa pesawat MH370 tidak menaruh harapan tinggi dalam operasi pencarian semula pesawat malang itu meskipun menggunakan teknologi baharu.
Selamat Omar, 68, bapa kepada penumpang MH370, Mohd. Khairul Amri berkata, meskipun menaruh harapan agar misteri kehilangan pesawat itu terungkai, namun dia tidak lagi menaruh keyakinan yang tinggi dalam usaha pencarian semula ini.
“Saya tidak boleh letak harapan dan terlalu yakin sebab perkara ini sudah berulang-ulang, jadi walau apa pun teknologi, keyakinan tidaklah seratus peratus.
“Setakat teknologi itu dan ini sudah lapan tahun tidak jumpa, semoga kali ini menjadi kenyataan dan jangan hanya setakat cakap sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mohd. Khairul Amri yang juga seorang jurutera bersama 238 anak kapal dan penumpang pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014 bagi perjalanan ke Beijing, China.
Dalam pada itu, Selamat berkata, dia tidak pernah berputus asa agar pesawat dinaiki anaknya ditemui.
“Saya reda dengan segala ketentuan Allah dan hanya mampu berdoa agar pesawat malang berkenaan ditemui sekali gus mendapat jawapan mengenai misteri yang masih menjadi persoalan,” ujarnya.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi kenyataan semalam berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) susulan terdapat petunjuk terbaharu mengenai lokasi pesawat MH370.
MOT berkata, pihaknya sedia maklum mengenai langkah ATSB ketika ini dan kementerian tersebut akan bekerjasama dengan ATSB sejurus hasil keputusan daripada penelitian itu diperolehi.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang jurutera aeroangkasa Britain, Richard Godfrey dilaporkan berkata, beliau dapat mengesan pesawat MH370 atau kapal terbang Boeing 777 tersebut menggunakan teknologi pengesanan terbaharu. -KOSMO! ONLINE