MAKLUMAT terkini menunjukkan pandemik meragut sekurang-kurangnya 5,838,469 nyawa sejak Covid-19 pertama kali muncul di Wuhan, China pada Disember 2019.
Amerika Syarikat (AS) mencatat kematian tertinggi iaitu seramai 925,815 orang diikuti Brazil (639,689) dan India (509,872).
Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan angka korban sebenar berkemungkinan dua atau tiga kali ganda lebih tinggi.
Dua tahun selepas pandemik melanda menyaksikan 61.9 peratus populasi global menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dengan sejumlah 10.42 bilion dos vaksin diberikan di seluruh dunia.
Menurut laman web pemantauan vaksinasi Our World in Data, 30.92 juta dos vaksin diberikan setiap hari, namun di negara berpendapatan rendah, cuma 10.6 peratus penduduknya menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Perkembangan itu berlaku ketika dua senario berbeza melanda dunia yang menyaksikan gelombang varian Omicron semakin reda di Eropah, Amerika Utara dan beberapa rantau lain tetapi ‘menggila’ di Asia.
Sebelum ini, negara-negara Barat menerusi kajian terkini menyarankan pemberian suntikan dos penggalak bagi mengurangkan penularan dan mengelak sistem kesihatan lumpuh akibat Omicron.
Omicron kini varian dominan di dunia menggantikan Delta, malah dua atau tiga kali ganda lebih mudah berjangkit berbanding Delta.
Ciri unik Omicron adalah kebal atau separa kebal terhadap vaksin dan boleh menjangkiti mereka yang lengkap dos pelalian atau bekas pesakit Covid-19.
Walaupun Omicron dikatakan kurang berbahaya, kadar kebolehjangkitan yang tinggi berisiko melumpuhkan sistem kesihatan dan meningkatkan kadar kematian bagi mereka berisiko tinggi.
Dua dos vaksin Sinovac dilaporkan tidak berkesan dalam mencegah jangkitan Omicron begitu juga AstraZeneca, malah keberkesanan Pfizer/BioNTech dan Moderna juga dilaporkan sangat terhad.
Kajian terbaharu menunjukkan dos penggalak jenis mRNA dapat mengurangkan risiko jangkitan Omicron sehingga 70 peratus, gejala serius 90 peratus. Justeru, berdasarkan penyelidikan, kerajaan di seluruh dunia melaksanakan kempen suntikan dos penggalak.
Masalahnya adalah keberkesanan dos penggalak merosot dengan ketara selepas bulan ketiga, namun masih berupaya melindungi daripada gejala serius Omicron sehingga hampir 80 peratus.
Strategi menyediakan dos keempat dan seterusnya tidak mungkin berjaya walaupun kerajaan mempunyai logsitik dan bekalan mencukupi.
Di peringkat global, ia adalah mustahil untuk menvaksinasi seluruh penduduk dunia dalam tempoh setiap tiga atau empat bulan. Ini disebabkan faktor psikologi dan letargi.
Tiada seorang pun sanggup membiarkan dirinya disuntik setiap tiga bulan. Kaedah itu tidak akan dapat sambutan, sebalikya cara lebih mesra pengguna mesti dicari jika mahu bendung penularan koronavirus. -KOSMO! ONLINE