PETALING JAYA – Aktres jelita, Sharifah Rose menjadi mangsa kecaman dalam media sosial selepas ‘kantoi’ memplagiat jenama sedia ada di pasaran milik orang kebanyakan.
Menerusi jenama miliknya sendiri, Sekuntum, Rose atau nama sebenarnya, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd. Mazfira, 24, dikatakan meniru idea kreatif beberapa jenama yang sedia ada dalam pasaran.
Seorang pengguna Twitter membongkar tindakan Rose disifatkan tidak bertanggungjawab yang ternyata memberi kesan negatif terhadap perniagaan diusahakannya.
“Selamba artis keluarkan jenama nama sama, ejaan sahaja lain. Bussiness nature (sifat bisnes) sama. Signatur bunga tiga kelopak sama.
“Rekaan font (tulisan) logo huruf kecil sama. Nama jenama hampir sama dan pelanggan pun keliru. Akhirnya, picisan ini pun tertindas, nak dapat pengikut 10,000 pun makan tahun,” ciap pemilik jenama Sekuntom yang mendakwa idea bisnesnya diplagiat atau diciplak pelakon drama rantaian, 3 Nota Cinta itu.
Difahamkan, Rose akan melancarkan jenama produk sendiri yang diberi nama Sekuntum dalam masa beberapa hari sahaja lagi.
Pantas melakukan ‘penyiasatan’, netizen juga membongkar hasil plagiat Rose yang bakal muncul dengan jenama susu menggunakan nama Sekuntum namun rekaan pembungkusan saling tidak tumpah dengan satu jenama luar negara berpangkalan di Australia, Macamilk.
“Dah nampak siapa dah siapa tiru siapa,” ciap seorang pengguna Twitter sambil menyertakan tangkap layar dua produk berlainan namun rekaan pembungkusan bersifat serupa.
Sehubungan itu, Rose mendapat kecaman bertubi-tubi yang kini mula memenuhi ruangan komen hantaran terbaharu status Instagramnya.
“Kasihan tau ‘cilok’ nama jenama dan logo orang lain.
“Lakonan anda memang sudah sedia teruk dan sekarang, anda memplagiat peniaga kecil?”
Itu antara komen ditinggalkan netizen yang mengutuk tindakan tidak bertanggungjawab pelakon itu.
Rose terdahulu, memuat naik kemas kini status dirinya bakal melancarkan jenama produk terbaharu tidak lama lagi berbunyi: “Perasaan berbelah bahagi kerana hanya beberapa hari lagi sebelum pelancaran.
“Semua bekalan untuk ‘bayi’ pertama saya sudah sampai pagi ini (dua hari lepas). Ini adalah beberapa gambar dari gudang.” – KOSMO! ONLINE