Oleh Dzul Asyraf
BANYAK kali penulis merancang untuk berkunjung ke Empangan Air Kuning, atau lebih dikenali sebagai EAK yang terletak di tengah-tengah kawasan hutan simpan Taman Botani, Shah Alam, Selangor.
Pada cuti Tahun Baharu Cina lepas, penulis bersama dua rakan nekad berkunjung ke sana.
Misi utama adalah untuk memperbaharui ‘lesen’ menaikkan ikan bagi tahun 2022, selain tertarik untuk mengetahui tentang sejenis teknik pancingan yang kini semakin popular dalam kalangan kaki pancing, fly fishing atau pancing layang.
Pengunjung yang ingin masuk ke situ perlu membeli tiket berharga RM3 seorang di kaunter, sebelum mendaftar masuk di pos kawalan renjer.
Pengunjung perlu memandu sendiri kenderaan sebelum sampai ke EAK Fly Fishing & Casting Centre dengan bayaran RM30.
Kedatangan penulis disambut mesra pengasas EAK Fly Fishing & Casting Centre, Nik Mohd. Rahimi atau lebih mesra disapa dengan panggilan Abe Nik.
Dia merupakan individu yang bertanggungjawab dalam memelihara dan mengawal selia segala kemudahan yang disediakan di situ.
Idea penubuhan EAK Fly Fishing bermula sekitar 2007 dengan fokus utama kepada penggemar teknik pancing layang, memandangkan pada masa itu, ia baru bermula di Malaysia.
Abe Nik yang juga merupakan salah seorang pengasas Persatuan Pancing Layang Selangor berasakan, teknik itu perlukan lapangan pancing untuk untuk mempraktikkan skil.
Atas rasa cinta yang menebal terhadap teknik pancing layang, maka Abe Nik dan beberapa orang teman, pada tahun 2008, EAK secara rasmi ditubuhkan.
Sempat penulis bertanyakan tip untuk mempelajari teknik berkenaan kerana ia agak teknikal (lebih teknikal berbanding penggunaan baitcasting untuk mengilat) dari segi set joran,kekili, tali dan juga umpan digunakan.
Penulis menggunakan joran aksi sederhana 7 – 17lb berserta mesin baitcasting ratio 6.3:1 dan penggunaan gewang popper jenis berbulu untuk memikat ikan pacu.
Menurut Abe Nik, saiz ikan pacu di EAK mencecah 12kg ke atas kerana persekitaran semula jadi dan kualiti air yang sihat menyumbang kepada tumbesaran ikan-ikan di situ.
Selain pacu, EAK turut dihuni ikan raja (peacock bass) , toman, haruan, baung ekor merah Asia dan beberapa spesies ikan tempatan lain.
Sahabat penulis, Zahari memperoleh strike pertama, apabila set mengilat Ultralight 2-8lb dengan tali utama 6lb menggunakan softplastic menyerupai ulat sagu bewarna hitam, terus dilarikan deras sejurus mencecah air.
Tekaan penulis, pacu yang menyambar, jika mengikut corak larian sedemikian.
Telahan tersebut tepat, apabila ikan pacu pertama berjaya didaratkan setelah berhempas-pulas mengawal pecutan ikan tersebut dari menyusup ke bawah jeti.
Terpancar kepuasan di riak muka Zahari apabila berjaya memperoleh ‘lesen’ pertama tahun ini.
Ketika penulis masih lagi menunggu sambaran ikan, kedengaran seorang lagi sahabat yang berada di pelantar, Fazdli menjerit kegembiraan, apabila umpan roti dikepal disambar ganas oleh ikan pacu.
Hasilnya, pacu bersaiz sedikit besar berbanding Zahari berjaya dinaikkan.
Terasa hati panas sedikit, apabila perlian daripada rakan menjadi santapan halwa telinga. Maklumlah, kedua-duanya agak baharu dalam dunia memancing berbanding penulis yang sedari kecil sudah menceburi hobi memancing.
Untuk mengelak daripada kumpaw (istilah bagi pengilat yang tiada hasil) dan dijadikan bahan usikan, penulis menukar teknik dari mengilat ke teknik hanyut menggunakan umpan roti, memandangkan si ikan raja dan toman di situ agak culas.
Tidak sampai seminit umpan dilabuhkan, kedengaran letupan ikan menyambar di permukaan air, sekali gus kekunci drag mesin penulis berbunyi nyaring.
Penulis membiarkan beberapa saat umpan dilarikan sebelum merentap joran dengan perlahan, bertujuan untuk membolehkan mata kail betul-betul melekat dalam mulut ikan, kerana ikan pacu terkenal dengan sifatnya memuntahkan mata kail, selain gemar menggigit tali sehingga putus.
Fakta yang patut diketahui oleh pemancing, bentuk gigi ikan pacu hampir menyerupai gigi manusia, maka tidak hairanlah tali perambut acap kali diputuskan jika kurang berhati-hati menjinakkannya.
Akhirnya, penulis berjaya memperolehi lesen pacu bagi tahun 2022.
Agak lama tidak mendaratkan pacu, seingat penulis kali terakhir pada 2015.
Selepas itu, beberapa lagi ikan pacu bersaiz sederhana berjaya dipancing.
Kami memutuskan untuk berhenti dan pulang memandangkan pada hari tersebut, cuaca sedikit panas terik dan diramal berlaku hujan lebat di sebelah petang.