MERSING – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sehingga hari ini memperuntukan sejumlah RM67.5 juta untuk membangunkan 28 projek inovasi komuniti dibawah Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berkata, peruntukan itu melibatkan kolaborasi bersama 13 universiti awam serta tiga agensi kerajaan di 148 lokasi seluruh negara.
Menurutnya, seramai 1,270 penerima manfaat berjaya diwujudkan bagi memperoleh pendapatan tambahan isi rumah agar melebihi paras tangga kemiskinan semasa sejak diwujudkan pada tahun 2015.
“Program DPUP yang berkonsepkan inovasi komuniti ini adalah merupakan salah satu inisiatif kerajaan melalui Teraju untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Bumiputera khususnya B40 terutamanya di kawasan luar bandar.
“Walaupun Bumiputera merupakan kaum majoriti di negara ini, iaitu pada kadar 69.4 peratus atau seramai 22.52 juta orang, status sosioekonomi Bumiputera masih ditahap yang memerlukan peningkatan.
“Khususnya melibatkan kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah. Ini adalah realiti kedudukan sosioeknomi golongan Bumiputera hari ini, khususnya golongan B40,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Turun Padang bagi DPUB 2020 Zon Selatan di Far East Planet, Kampung Air Merah di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md. Silmi Abd. Rahman, Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Rosli Md Illias serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Nazamid Saari.
Abd Latiff berkata, DPUB Zon Selatan melibatkan tiga program utama iaitu Penternakan Ikan Kelah dan Ikan-ikan Spesis Tempatan yang diterajui UPM.
Jelasnya, program kedua dan ketiga pula dilaksanakan UTM iaitu Program Penternakan Akuakultur Udang Kara Air Tawar dan Pengeluaran Produk Bernilai Tinggi Berasaskan Nenas. -KOSMO! ONLINE