KOTA TINGGI – Pengundi Johor khususnya masyarakat Islam diminta untuk berasa lebih bertanggungjawab dalam memilih pemimpin dan parti politik yang akan mentadbir kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, gesaan itu dibuat kerana tanggungjawab memilih pemimpin akan turut dipertanggungjawab kepada setiap orang Islam.
Katanya, sehubungan itu amat penting buat rakyat memilih pemimpin dan parti politik yang bebas daripada salah guna kuasa.
“Saya mengingatkan orang Johor kerana di Johor ini banyak sekolah agama, mengaji al-Quran dan penduduk majoriti islam jadi dalam memilih pemimpin, wakil rakyat, ketua yang mewakili kita adalah satu kewajipan besar dalam agama Islam dan tidak boleh dipandang ringan.
“Tetapi orang Islam sudah terlalu lama dijajah dan telah menjauhi agama sendiri, asas seperti solat, puasa, zakat dan haji mereka tahu, namun dalam soal memilih pemimpin mereka sambil lewa.
“Jadi saya berharap orang Johor akan memilih pemimpin yang berilmu, berakhlak dan berintegriti, walaupun dia mungkin tidak kaya tetapi dengan ilmu mereka boleh mentadbir dengan sejahtera,” katanya. – KOSMO! ONLINE