SEREMBAN – Pelakon veteran, Idris Bakar, 74, meninggal dunia akibat kegagalan jantung di Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Kuantan, Pahang pagi tadi.
Idris meninggal dunia kira-kira pukul 8.14 pagi tadi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) hospital berkenaan.
Menurut anak ketiganya, Hanafizah Idris, 49, Allahyarham bapanya itu telah mengikutnya pulang ke Kuantan pada 14 Februari lalu.
“Saya membawa arwah bapa pulang ke Kuantan untuk menjaganya. Bagaimanapun, pada 16 Februari lalu, arwah bapa terkena serangan jantung pada waktu petang dan dia dimasukkan ke zon kuning dan kemudian ke wad biasa.
“Selepas itu, dia dimasukkan ke CCU namun masih boleh berbual bersama kami melalui panggilan telefon. Namun, pihak hospital memaklumkan bapa meninggal dunia kira-kira pukul 8.14 pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, di sini hari ini.
Menurut Hanafizah, arwah bapanya itu juga merupakan seorang pesara hospital, sudah lapan tahun meninggalkan dunia lakonan dan selepas itu hanya berehat di rumah.
“Kali terakhir arwah bapa berlakon adalah pada lapan tahun lepas dan lakonan terakhirnya adalah dalam sebuah drama bertajuk Tok Ompek Simpang Ompek,” ujarnya.
Jenazah Idris sebelum itu disolatkan di Masjid al-Muhajirin Indera Mahkota 5, Kuantan lebih kurang pukul 12 tengah hari tadi dan dibawa pulang untuk dikebumikan sebelum solat Asar hari ini.
Idris merupakan pelakon kacukan Melayu-Belanda dan dilahirkan di Kuala Pilah, namun menetap di Kampung Jiboi, Ampangan dekat sini. -KOSMO! ONLINE