PETALING JAYA – Varian Omicron yang melanda negara ketika ini sehingga angka positif harian kembali meningkat sehingga lima angka sehari masih mampu membunuh walaupun tidak seteruk varian Delta sebelum ini.
Mendedahkan perkara itu, Naib Presiden Medical Mythbusters Malaysia (M3), Dr. Amirul Amzar berkata, walaupun varian ini tidak separah Delta, namun pada golongan tua, komorbiditi dan kurang daya tahan badan, ia masih boleh membunuh.
Menurut Amirul, varian ini juga menular jauh lebih pantas berbanding varian sebelumnya sehingga menyebabkan kes meningkat dengan sangat drastik.
“Malah, varian Omicron ini ada mutasi yang banyak termasuk pada ‘spike protein’, menyebabkan ia boleh menjangkiti mereka yang dah divaksin dan yang pernah dijangkiti sebelum ini.
“Sebab itu semua orang kena ambil booster dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.
Menjelaskan lagi mengenai varian Omicron, Amirul berkata, walaupun varian itu tidak menyebabkan kes yang parah seperti Delta, tapi amat mudah merebak.
Katanya, jika rakyat sambil lewa dalam mematuhi SOP, ada kemungkinan kes akan meningkat hingga 50,000 dan mungkin sehingga 100,000 kes sehari berdasarkan trend terkini jangkitan Omicron.
“Apabila ini berlaku ia boleh melumpuhkan sistem kesihatan negara, kerjasama rakyat untuk mematuhi SOP amat diperlukan,” katanya.
Pada masa sama, Amirul menyeru agar orang ramai segera mengambil vaksin dan dos penggalak.
“Tujuannya untuk kurangkan risiko jangkitan serius, komplikasi, kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kematian.
“Seperti yang kita lihat pada graf laman COVIDNOW, kadar kematian yang tidak divaksin jauh lebih tinggi daripada yang sudah terima booster, sebab itu booster penting,” jelasnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada trend kemasukan ke hospital sekarang meningkat susulan varian Omicron ini, Amirul berkata, ia masih pada tahap yang terkawal. -KOSMO! ONLINE