PASIR MAS – Wanita sarat mengandung yang maut dalam kemalangan motosikal sehingga bayi lelakinya terkeluar daripada rahim di Kampung Banggol Stor, Repek di sini semalam meminta kebenaran suaminya untuk menunggang motosikal sendiri sebelum nahas.
Suami mangsa, Mohd. Khairi Hasbullah berkata, arwah, Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, ada meminta kebenaran menunggang motosikal secara berasingan untuk ke kedai runcit.
Katanya, arwah meminta kebenaran itu kerana tidak selesa untuk duduk sebagai pembonceng ekoran perutnya ketika itu sudah sarat mengandung dan menunggu masa melahirkan anak keempat.
“Setiap kali keluar, saya akan bawa arwah bersama tiga lagi anak berusia lapan hingga dua tahun dengan menaiki motosikal bersama-sama.
“Cuma semalam, arwah meminta untuk menunggang secara berasingan bersama anak kami Nurul Iman Maisara, 6. Jadi saya izinkan kerana jarak kedai runcit dengan rumah tidak jauh iaitu hanya tiga kilometer sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Banggol di sini hari ini.
Berita berkaitan: Ibu sarat mengandung maut, anak terkeluar daripada rahim
Mohd. Khairi memberitahu, semasa tiba di lokasi kejadian, dia terkejut melihat sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dalam keadaan laju telah masuk ke laluan mereka.
Katanya, dia sempat mengelak, namun isterinya gagal berbuat demikian sebelum motosikal tersebut telah bertembung dengan Nor Haliza. – K! ONLINE