KLANG – Sebuah lori yang tular terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan tebing sungai di daerah ini akhirnya disita pihak berkuasa, baru-baru ini.
Penyitaan itu dilakukan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Klang (MPK) pukul 1.30 tengah hari, Rabu lalu di Jalan Jeti Pandamaran.
MPK dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil siasatan mendapati lori lima tan jenis Mitsubishi itu milik sebuah syarikat beroperasi di Jalan Seruling, Taman Klang Jaya di sini.
Katanya, pemandu lori berkenaan telah membuang sampah industri di lokasi yang tidak dikhaskan pihak MPK.
“Justeru, lori tersebut telah melakukan kesalahan dibawah Undang-Undang Kecil (UUK) 4 Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah -Sarap (PPPS) MPK 2007.
“Tindakan sitaan lori berkenaan selaras UUK 21 PPPS MPK 2007 dan lori itu telah dibawa ke Depoh JPK untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Terdahulu tular video berdurasi satu minit dua saat itu yang dimuat naik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri memaparkan sebuah jentolak sedang menarik keluar sampah dari sebuah lori untuk dibuang di kawasan berkenaan. -K!ONLINE