fbpx

Lelaki bergelar Datuk antara 5 ditahan seludup minuman keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian minuman keras tidak bercukai yang dirampas dalam serbuan di sekitar Sentul, semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima lelaki termasuk seorang bergelar Datuk dipercayai terbabit dalam penyeludupan minuman keras tidak bercukai menerusi serbuan berasingan di dua lokasi sekitar Sentul, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batilion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih Superintendan Rizal Mohamed berkata, serbuan pertama dilakukan antara pukul 9 pagi hingga 2 petang di sebuah menara di ibu negara.

“Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 30 dan 45 tahun serta seorang lelaki warga asing berusia 52 tahun bersama tiga kenderaan di lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui 110 kotak dan 344 karton minuman keras tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM82,068 dengan nilai cukai berjumlah RM91,842 yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Rizal, serbuan kedua melibatkan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing masing-masing berusia 58 dan 45 tahun di sebuah premis di Jalan Ipoh pada pukul 4 petang, semalam.

“Pemeriksaan dilakukan menemui 32 karton dan 46 kotak minuman keras tidak bercukai yang berjumlah RM21,788 dengan anggaran nilai cukai RM25,355.

“Siasatan dilakukan membawa kami ke sebuah lagi premis di Jalan Pulasan di sini dan menemui 374 karton dan 583 kotak minuman keras tidak bercukai yang disembunyikan di dalam premis berkenaan bernilai RM276,156 dengan anggaran cukai RM301,768,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 750 karton dan 739 kotak minuman keras tidak bercukai bernilai RM380,012 dengan nilai cukai sebanyak RM418,983.

“Kami turut merampas tiga kenderaan dan beberapa telefon bimbit menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM1.13 juta.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Orang ramai diseru agar memberi kerjasama dan tampil menyalurkan maklumat kepada polis mengenai sebarang aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI