MANCHESTER – Tottenham Hotspur dijangka berdepan tugas berat menjelang saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester City yang dijadualkan berlangsung di Etihad awal pagi esok.
City berada dalam keadaan terbaik ketika ini selepas membelasah Sporting Lisbon 5-0 pada pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Rabu lalu sementara Spurs tewas dua kali berturut-turut.
Pengurus City, Pep Guardiola menganggap skuad kendaliannya masih belum menampilkan aksi terbaik meskipun menang besar ke atas Sporting Lisbon dan tekad untuk turun dengan aksi lebih sempurna berdepan Spurs.
“Kami perlu menampilkan aksi lebih baik selepas ini kerana saya masih belum berpuas hati dengan penguasaan bola. Saya harap semua pemain boleh baiki kelemahan ini pada perlawanan akan datang.
“Saya ada prinsip bola sepak, iaitu untuk menguasai permainan tetapi pemain-pemain banyak buat silap ketika bertemu Sporting. Oleh itu, saya tidak mahu ia berulang ketika bertemu Spurs,” katanya.
Pada masa sama, pengendali dari Sepanyol itu berharap pemain-pemainnya dapat meneruskan rentak kemenangan menjelang aksi menentang Spurs bagi memastikan mereka terus menerajui saingan Liga Perdana Inggeris.
“Walaupun ada kelemahan tetapi saya gembira dengan prestasi semua pemain, cuma saya mahukan aksi lebih sempurna. Pemain-pemain juga faham dengan apa yang saya mahukan daripada mereka,” ujar Guardiola. – AGENSI