fbpx

Floor 88 menggigil dipelawa tunai umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FLOOR 88

PETALING JAYA – Peluang dan rezeki mengadakan konsert perdana Mac depan ternyata berganda buat kumpulan Floor 88 apabila turut dipelawa untuk menunaikan umrah.

Ayie Ilham selaku vokalis Floo 88 memaklumkan, lamaran oleh pihak GBH (Grand Barakah Hotel) yang diterima sekitar bulan lalu sememangnya sukar ditolak.

“Kami dapat tahu pemilik GBH memang seorang peminat setia. Jadi kami bertemu bulan lalu namun ketika itu, lebih kepada sesi suai kenal saja.

“Kemudian, dia tanya sama ada kami mahu adakan konsert. Pertanyaan tersebut ibarat membuka jalan dan merasakan, ini adalah peluang yang sukar untuk dilepaskan,” katanya.

Ayie, 24, berkata demikian ketika ditemui media pada majlis pelancaran dan sidang media Eighty8 Infinity Concert, di Grand Barakah Hotel, Ampang, baru-baru ini.

Ditanya kesesuaian perancangan untuk mereka mengadakan konsert ketika negara masih bergelut dengan permasalahan Covid-19, pemain gitar kumpulan berkenana, Zai Hamzah atau Achoi memberi jaminan bahawa persembahan akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ujarnya, lokasi Eighty8 Infinity Concert yang boleh memuatkan kira-kira 1,000 penonton itu akan dikurangkan kepada 750 penonton bagi tujuan penjarakan sosial.

“Seperti yang Ayie katakan, kami dah lama rancang untuk adakan konsert iaitu sejak dua tahun lalu. Tapi Covid-19 memaksa kami tangguhkan dulu perancangan itu.

“Kami tak mahu tunggu lagi kerana konsert ini adalah jawapan kepada persoalan peminat yang mahukan kami mengadakan konsert.

“Insya-Allah kami akan buat sehabis baik dan persembahkan konsert yang akan diingati oleh peminat,” katanya.

Ayie turut memberi bayangan akan melancarkan lagu baharu ketika konsert berlangsung.

Pada konsert nanti, Floor 88 akan menyampaikan 13 buah lagu bersama susunan muzik yang berbeza.

Selain itu, Eighty8 Infinity Concert akan dimeriahkan lagi dengan persembahan Apak Harry Khalifah dan Caramelt Band.

Sementara itu, berkongsi perasaan ditaja untuk menunaikan umrah pada Mei depan, Ayie, berkata, mereka menggigil dan sangat terharu kerana impian untuk ke Tanah Suci akhirnya akan tercapai.

“Sejujurnya kami dah lama teringin untuk tunaikan ibadah umrah bersama, tapi faktor kewangan membataskan impian.

“Namun kesudian pihak GBH untuk membawa kami menunuaikan umrah menyebabkan saya rasa menggigil. bukan sebab tak bersedia, tapi lebih kepada terkejut.

“Kalau ikut perancangan hanya kami berenam yang akan ke sana. Tapi kalau ada rezeki dan kesempatan, saya harap keluarga kami juga akan turut serta.

“Cuma isteri saya mungkin tak akan bersama ke Tanah Suci sebab dia akan sarat hamil ketika itu,”ujarnya.

Selain Ayie dan Achoi, Floor 88 turut dianggotai Falique (bass), Eric Fuzi (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI