fbpx

Dolla terbang tinggi, ‘level’ antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Dolla.

DUA tahun sejak bertapak dalam industri, Dolla semakin lincah mengorak langkah sebagai kumpulan vokal wanita berpengaruh tanah air dengan kelahiran single terbaharu berjudul BAD.

Setia dianggotai Angel, Sabronzo, Syasya dan Tabby, menerusi BAD, Dolla membuktikan kerjaya nyanyian mereka tetap relevan dan semakin rancak untuk dipertontonkan kepada umum.

Secara peribadi, penulis menyifatkan Dolla sebagai antara artis tempatan yang sentiasa berevolusi dengan pilihan muzik mereka.

Kalau kenyataan tersebut kurang memberikan cerminan terhadap apa yang dikerjakan mereka dari segi muzik, bolehlah sekiranya memberi sedikit perhatian terhadap lagu-lagu yang pernah dilahirkan seperti Dolla Make You Wanna dan Berani.

MALAM ini Dolla akan menemui peminatnya secara langsung pukul 8.00 malam di Nero Event Space, PJPAC, 1Utama.

Kelas antarabangsa

BAD memiliki kekuatan melodi berkelas antarabangsa. Bukan itu sahaja, hal sama turut dicernakan menerusi kualiti video muzik mereka yang setakat ulasan ini dinukilkan, sudah mencecah jumlah tontonan lebih satu juta dalam YouTube.

Dari segi komposisi muzik, BAD boleh disifatkan sebuah karya dance pop yang kaya dengan rentak mudah melekat dalam minda. Disebabkan itu, lagu berkenaan senang dilabel sebagai perkongsian muzik ‘radio-friendly’ yang mudah meroket dalam tangga carta popular.

Dalam pada itu, dari segi mesej melalui penulisan lirik, BAD juga terkandung pesanan kuat tentang pemerkasaan wanita yang tidak berbelah bahagi dan tersendiri. Selari status sebagai grup wanita, itu satu identiti yang membuatkan nama kumpulan berkenaan terus mekar dalam kalangan peminat.

Selain aspek di atas, apa yang membuatkan penulis terus kagum dengan Dolla adalah kualiti video muzik yang dicernakan.

Video muzik, koreografi makin cermat

Benar-benar berada dalam kelas tersendiri yang wajar dicanang di peringkat antarabangsa. Itu pandangan peribadi penulis tentang video muzik BAD yang kian menunjukkan anjakan dari pelbagai hal teknikal lain seperti styling (penggayaan) dan pengaruh fesyen.

Aspek tarian atau koreografi yang ditonjolkan Dolla juga semakin sempurna sekali gus membutirkan pandangan bahawa mereka kian serius dalam industri muzik tanah air.

Rasanya, sudah boleh terus menggalakkan usaha Dolla ke peringkat yang lebih besar iaitu antarabangsa.

Keseluruhannya, pujian buat Dolla dan pasukan kerana walaupun dunia masih dibelenggu Covid-19, mereka setia dan mampu melahirkan karya yang tidak membiarkan peminat terduduk kecewa.

Semoga dengan kelahiran dan penonjolan kualiti muzik seperti BAD terus membuatkan Dolla terbang tinggi dan memberi inspirasi kepada pemuzik tempatan berkarya dengan sepenuh tenaga tanpa rasa jemu demi kemajuan sejagat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI