PASIR MAS – Tindakan seorang tekong darat warga Thailand yang menggunakan van persiaran untuk mengangkut seramai 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar gagal apabila mereka ditahan di Kampung Lubok Kawah di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, suspek berusia 42 tahun turut ditahan bersama pemandu van yang berusia 37 tahun.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan migran, sepasukan anggota polis telah membuat rondaan kira-kira pukul 5 pagi.
Menurutnya, semasa menjalankan rondaan, polis melihat dengan sebuah van persiaran jenis Era Komuter dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Selain itu, sebuah kereta jenis Audi A4 berwarna putih turut dikesan semasa pemantauan itu dijalankan. Menyedari kehadiran anggota polis, pemandu van persiaran dan kereta itu telah memecut laju kenderaan dipandu mereka.
“Van persiaran itu berjaya ditahan di Kampung Lubok Kawah di sini, namun kereta Audi A4 berjaya meloloskan diri tanpa dapat dikesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.