KLANG – Kecekapan pihak polis berjaya menyelesaikan kes samun dan culik seorang buruh binaan warga Bangladesh dalam tempoh hampir empat jam menerusi penangkapan tujuh suspek, semalam.
Kesemua suspek lelaki berusia 20 hingga 25 tahun diberkas antara pukul 1.30 hingga 4 pagi di sekitar daerah ini dan Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu terbongkar selepas adik mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 1 pagi pada hari yang sama.
Katanya, berdasarkan siasatan awal adik mangsa berusia 32 tahun itu menerima panggilan daripada seorang suspek menggunakan telefon milik abangnya kira-kira pukul 8.57 malam kelmarin.
“Menerusi panggilan itu, suspek memaklumkan mangsa yang berusia 38 tahun itu ada bersama mereka dan meminta RM50,000 sekiranya mahu dibebaskan.
“Kumpulan suspek juga memberikan amaran akan pergi ke rumah sekiranya mereka enggan menyerahkan wang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, selang hampir sejam kemudian kumpulan suspek itu telah datang dengan membawa mangsa.
Tambah Hoong Fong, adik mangsa dan tiga rakannya juga telah dibelasah suspek sebelum beredar dengan membawa mangsa.
“Polis yang menerima maklumat telah melakukan penangkapan terhadap tujuh suspek terlibat berkenaan dan tiada bayaran diberikan adik mangsa kepada suspek.
“Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai telah diculik selepas keluar dari rumah pukul 3 petang kelmarin bagi melakukan kerja ubah suai rumah di Shah Alam,” ujarnya.
Jelas beliau, mangsa berjaya ditemui kira-kira pukul 1.31 pagi hari sama di tepi jalan di Shah Alam selepas ditinggalkan suspek dengan mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk rawatan lanjut. -KOSMO! ONLINE