KUALA LUMPUR – Sebanyak 90 kompaun berjumlah RM91,000 dikeluarkan polis dalam serbuan berasingan membabitkan tiga premis hiburan di sekitar ibu negara tengah malam tadi.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, hasil serbuan mendapati kesemua pusat hiburan tersebut beroperasi dengan melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pusat hiburan berkenaan didapati melakukan aktiviti terlarang di dalam pub atau kelab malam selaras dengan kesalahan mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN Fasa 4 2021.
“Ketiga-tiga pemilik premis terbabit dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap satu manakala seramai 87 pengunjung turut dikompaun RM1,000 setiap individu menjadikan jumlah keseluruhan kompaun adalah RM91,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Azman, sebanyak 370 kompaun membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM370,000 ke atas pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan bagi tempoh Januari lalu hingga hari ini.
“Sebanyak 80 kompaun bernilai RM80,000 dikeluarkan kepada orang ramai yang gagal mematuhi SOP bagi Pasukan Pematuhan SOP Covid-19 JPJKK Kuala Lumpur.
“Semua kompaun berkenaan dikeluarkan mengikut Akta 342 APPPB yang dikuatkuasakan oleh kerajaan ketika ini,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi semua SOP yang ditetapkan untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi demi keselamatan umum.- KOSMO! ONLINE