fbpx

Yonnyboii mengaku isteri tak bertudung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Yonnyboii memaklumkan isterinya, Nik Nazira masih menyesuaikan diri dengan imej bertudung.

PETALING JAYA – Penyanyi hip hop, Yonnyboii mengakui isterinya, Nik Nazira Narriman masih dalam proses belajar untuk menutup aurat dengan sempurna.

Enggan memaksa, Yonny atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin sebaliknya memberi kebebasan buat isterinya memilih sesekali tidak mengenakan hijab terutama jika keluar berdua.

“Kalau berjalan dengan saya, ada kalanya dia nak melawa macam ketika keluar makan atau waktu bulan madu. Bukan selalu (tidak bertudung), tengok pada situasi.

“Sebelum ini, dia memang tak berhijab selain, setahun kebelakangan ini pakai tudung secara berkala  kerana masih dalam fasa belajar.

“Saya memang tak pernah paksa dia untuk ubah penampilan atau apa pun sebab saya juga tampil dengan imej begini (cuba pelbagai warna rambut). Saya okey saja.

“Dia muda lagi, baharu 23 tahun. Tak perlu nak paksa diri. Kami pun sama-sama masih memperbaiki diri. Janji kami faham antara satu sama lain serta sudah membincangkan perkara ini,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu itu ditemui pada Majlis Penganugerah Aplikasi Penstriman Muzik Joox, semalam.

Nik Nazira yang menemani suaminya ke majlis tersebut nyata menarik perhatian ramai apabila tampil dengan gaya rambut serupa suami.

Jelas Yonnyboii, isterinya belum pernah mendedahkan imej tidak bertudung menerusi laman sosialnya kerana berasa belum masa untuk berbuat sedemikian.

“Saya harap peminat tak terkejut atau menyangka saya berjalan dengan wanita lain disebabkan penampilan isteri saya yang berbeza dalam Instagram.

“Bagi yang tahu, tahulah macam anda jumpa kami hari ini. Dia pun tak berselindung kalau jumpa depan-depan begini, cuma dalam Instagram dia belum pernah secara terbuka mendedahkan situasinya,” ujarnya.

Ditanya sama ada Nik Nazira yang juga pensohor media sosial itu berhadapan tanggapan umum nanti, katanya, mereka sudah sedia berhadapan segala kemungkinan.

“Sepanjang tempoh ini isteri juga belum menonjolkan imej tanpa tudung di laman sosialnya tapi saya selalu ingatkannya tentang kecaman yang bakal dilalui sebab orang tak tahu dia ‘on-off’ pakai hijab.

“Tiga tahun saya dalam industri hingga sudah lali berdepan kritikan netizen. Saya kerap berkongsi pengalaman supaya dia tak terkejut apabila perkara itu diperkatakan umum,” tambah Yonnyboii lagi.

Terdahulu, pasangan tersebut bernikah secara privasi yang dihadiri kira-kira 20 keluarga terdekat tanpa membuat hebahan namun mengumumkan perkahwinan beberapa hari kemudian.

Sementara itu, mengenai kemenangan pertamanya bersama rakan seperjuangan,  Zynakal dan Asyraf Nasir dalam kategori Top 5 Hit Lokal, kejayaan terbabit  menyuntik semangat untuk menghasilkan karya lebih bagus.

Baginya, sokongan ramai yang berkongsi Tak Sangka menerusi pelbagai platform penstriman terutama TikTok secara tidak langsung meletakkan lagu tersebut dalam carta popular.

“Saya pun sebenarnya tak sangka lagu ini mampu memikat pendengar muzik sehingga berada dalam carta lima terbaik dan layak membawa pulang trofi Joox.

“Sudah pasti kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Mungkin akan ada sambungan untuk dendangan ini nanti yang pasti lagi menarik.

“Juga tetap membabitkan projek berkumpulan iaitu bersama dua lagi rakan seperjuangan saya. Kita tunggu perkembangan lanjut,” kata Yonnyboii. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI